Warisan seni bina dan budaya Melayu akan terus kekal, diperkasa
PUTRAJAYA–
Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah
Shah menitahkan Kampung Baru, yang juga merupakan ikon di Kuala Lumpur,
dibangunkan serta dimajukan seiring dengan pembangunan pesat Kuala
Lumpur, dengan mengambil kira keutamaan hak dan kepentingan orang
Melayu.
Dalam
titahnya pada istiadat pengurniaan darjah kebesaran, bintang dan pingat
sempena Hari Wilayah Persekutuan 2020 di Istana Melawati di sini hari
ini, Seri Paduka memaklumkan kerajaan sedang berusaha untuk membangunkan
semula Kampung Baru menerusi pelan pembangunan yang telah dirangka
dengan teliti.
Seri
Paduka dalam titahnya menyuarakan harapan agar pembangunan semula
Kampung Baru dapat direalisasikan dengan mengambil kira keutamaan hak
dan kepentingan orang Melayu memandangkan Kampung Baru merupakan simbol
penempatan orang Melayu di Kuala Lumpur.
Seri
Paduka bertitah, baginda telah disembah maklum bahawa rancangan
pembangunan semula Kampung Baru adalah untuk memperkasakan masyarakat
Melayu di Kuala Lumpur.
“Menerusi
pembangunan semula ini, hak milik tanah akan kekal kepada orang Melayu.
Selain itu warisan seni bina dan budaya Melayu akan terus kekal dan
diperkasakan,” titah Seri Paduka.
Dalam
titahnya, Seri Paduka menzahirkan rasa amat gembira dan bersyukur
melihat usaha dan komitmen kerajaan dalam membangunkan Wilayah
Persekutuan.
Titahnya,
pelbagai aktiviti dan inisiatif telah dilaksanakan secara berterusan
oleh Kementerian Wilayah Persekutuan melibatkan penyertaan pelbagai
kategori kumpulan sasar khususnya rakyat dari kumpulan B40, yang
bertujuan untuk menjaga kebajikan rakyat, meringankan kos sara hidup dan
menaikkan taraf hidup rakyat.
Antara
inisiatif yang dilihat memberikan impak secara terus kepada rakyat
adalah perkhidmatan bas percuma Go-KL, pemilikan rumah kepada golongan
asnaf serta kemudahan penginapan dengan kadar sewaan yang rendah bagi
golongan B40 yang berstatus bujang yang baru berhijrah mencari rezeki di
ibu kota Kuala Lumpur.
“Beta
berharap inisiatif dan program yang dilaksanakan oleh kerajaan akan
dapat dinikmati oleh rakyat Wilayah Persekutuan sekaliannya, tanpa
mengira bangsa mahupun agama,” titahnya.
Al-Sultan
Abdullah turut bertitah agar pembangunan sukan tidak dilupakan kerana ia
merupakan wadah terbaik dalam menyatukan dan menyihatkan masyarakat
yang terdiri daripada pelbagai kaum, bangsa dan agama.
“Beta
berharap agar program-program sukan di Wilayah Persekutuan terus
diperkasa dan lebih ramai atlet daripada Wilayah Persekutuan dapat
dilahirkan untuk mengharum nama negara di persada antarabangsa,” titah
Seri Paduka.
Turut
hadir di majulis hari ini ialah Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad
dan isteri Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali, Timbalan Perdana Menteri Datuk
Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Menteri Wilayah Persekutuan Khalid
Abdul Samad.
Seri
Paduka turut menitahkan para penerima darjah kebesaran bintang dan
pingat Wilayah Persekutuan untuk menjaga maruah, integriti dan nama baik
diri bagi mengekalkan kemuliaan dan martabat anugerah yang dikurniakan.
Seramai 188 individu dikurniakan darjah kebesaran, bintang dan pingat sempena Hari Wilayah Persekutuan tahun ini. – Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.