Ahad, 2 Februari 2020

Kita boleh maju tanpa PPSMI

Datuk Dr Ir Ts Badhrulhisham Abd Aziz

 

Orang Jepun masih kuasai Sains, teknologi, bangga bahasa ibunda


KEBELAKANGAN ini isu Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) hangat diperbahaskan, bila Tun Dr Mahathir Mohamad menyatakan hasrat beliau untuk mengembalikannya semula dalam silibus persekolahan.

PPSMI telah digantikan dengan program dwibahasa (DLP) pada tahun 2012 yang memberi pilihan kepada pihak sekolah untuk melaksanakan pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris dengan meletakkan syarat-syarat tertentu.

Pada pandangan saya, kita sepatutnya tidak perlu kembali kepada PPSMI yang terbukti telah menemui kegagalan, disebabkan banyak faktor antaranya faktor perlaksanaan, persediaan dan sebagainya.

Saya adalah kumpulan pertama pelajar darjah 1 sekolah kerajaan, yang memulakan sistem pembelajaran dan pengajaran dalam bahasa Melayu sepenuhnya.

Belajar Sains dan Matematik dalam bahasa Melayu sehingga ke Tingkatan 6 tidak langsung menjejaskan pemahaman dan pengetahuan saya dalam bidang ini.

Kemudian saya melanjutkan pelajaran ke Amerika Syarikat dan Unite Kingdom (UK) dalam bidang Kejuruteraan Kimia dan berjaya mengharunginya tanpa masalah.

Ramai dari kawan-kawan saya dari berbilang-bangsa yang sama-sama dengan saya dalam sistem pembelajaran dan pengajaran dalam bahasa Melayu sepenuhnya, berjaya dalam pelajaran tinggi mereka.

Setelah saya melanjutkan pelajaran peringkat PhD ke Kyoto University, Jepun, saya dapat memahami dengan lebih dekat lagi mengapa tanpa belajar Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris, orang Jepun masih boleh menguasai Sains dan Teknologi.

Mereka amat bangga dengan bahasa mereka dan berjaya mengekalkan ilmu pengetahuan dalam bahasa Jepun dan menjadikan pesaing mereka sukar untuk bersaing disebabkan semuanya dalam bahasa Jepun.

Tetapi, mereka belajar bahasa Inggeris dan bahasa-bahasa lain untuk memastikan mereka boleh membaca dan memahami bahasa-bahasa itu untuk tujuan ilmu.

Bukan itu sahaja, mereka menterjemahkan hasil-hasil karya bahasa lain ke bahasa Jepun dengan begitu pantas dan intensif agar rakyat mereka tidak ketinggalan dalam ilmu pengetahuan.

Saya mencadangkan kita mengekalkan pembelajaran dan pengajaran dalam bahasa Melayu hingga ke peringkat menengah.

Dalam masa yang sama, kita perlu perkenalkan satu program intensif untuk memperkukuhkan bahasa Inggeris di sekolah-sekolah agar penguasaan bahasa Inggeris terutama sekali dalam pembacaan dan penulisan dapat dicapai dengan baik.

Bahasa jiwa bangsa adalah satu ungkapan yang amat tepat. Identiti bangsa dan negara mesti dikekal dan dipertahankan. Malaysia mampu menjadi negara maju tanpa mengorbankan identiti kita dan tanpa mengagung-agungkan budaya orang lain.

*Datuk Dr Ir Ts Badhrulhisham Abd Aziz-  Presiden BERJASA


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.