KUALA LUMPUR – Pengukuhan penguasaan Bahasa Inggeris tidak sewajarnya dilakukan melalui Pembelajaran dan Pengajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI), sebaliknya kerajaan perlu menyemak semula di mana kelemahan silibus bahasa antarabangsa itu sendiri yang diajar di sekolah-sekolah.
Ini kerana menurut aktivis, Mohd. Ashraf Mustaqim Badrul Munir, kebanyakan rakyat Malaysia belajar Bahasa Inggeris selama 11 tahun (dari darjah 1 hingga Tingkatan 5) namun masih gagal menguasai bahasa tersebut yang sekali gus menunjukkan kelemahan dalam kaedah pengajaran bahasa yang dianggap bahasa kedua di Malaysia itu.
“Melalui silibus Bahasa Inggeris, kita lebih menekankan soal penguasaan tatabahasa seakan mahu melahirkan saintis bahasa!
“Dari tujuan bahasa selaku alat komunikasi! Sedangkan Bahasa Inggeris di negara asalnya lebih fokus kepada komunikasi (ditambah dalam permasalahan global isu kemasukan imigran ke negara sepeeti UK dan US) maka memperkasakan kembali silibus dengan kaedah pengajian yang lebih memberangsangkan perlu jadi keutamaan.
“Andai terma Inggeris dalam Sains dan Matematik adalah kerisauannya, seharusnya Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) yang wajib diperkasakan untuk menterjemah diksi-diksi sains.
“Hakikatnya juga terma-terma Sains dan Matematik ini kebanyakkannya bukanlah berasal dalam Bahasa Inggeris kerana banyak dalam Latin dan Greek mahupun Bahasa Arab! Bahasa Inggeris bukan satu-satunya bahasa sains sebaliknya hanya mula dialih bahasa sekitar tahun 60-an,” katanya yang juga Presiden Angkatan Gerak Minda Malaysia (Agra) .
Jelas Mohd. Ashraf, semua pihak perlu mendasari isu sebenar di antara penguasaan Bahasa Inggeris dan PPSMI.
Katanya, ketika nilai Bahasa Melayu semakin menjunam, diharapkan tiada pihak yang cuba merendahkan lagi martabat bahasa kebangsaan.
Tambahan pula, kajian-kajian yang dibangkitkan Majlis Perundingan Melayu (MPM) yang diwakili sarjana dan ilmuwan pelbagai bidang menerusi kajian dari DBP, Universiti Kebangsaan Malaysia dan Pembina menunjukkan dan mengesahkan PPSMI adalah sebuah projek yang gagal sebelum ia dimansuhkan pada 2012.
Masalah segi kesediaan dan pelaksanaan PPSMI sebelum ini adalah sesuatu yang disahkan dan menyukarkan anak-anak di luar bandar yang sememangnya lemah dari awal dalam penguasaan ‘komunikasi’ Bahasa Inggeris.
“Kajian UNESCO malah digagaskan dalam piagamnya juga menegaskan keberkesanan pendidikan adalah menggunakan bahasa sendiri.
“Lebih parah dalam Malaysia apa terma bahasa sendiri?
“Adakah dalam kalangan masyarakat berbilang kaum di Malaysia meletakkan Bahasa Kebangsaan iaitu Bahasa Melayu selaku ‘bahasa sendiri’ malah dari segi praktik apabila sekolah-sekolah pun terpisah?
“Saya amat bersetuju andai ayahanda Tun Dr. Mahathir tegas dalam pelaksanaan sekolah wawasan.
“Pendidikan haruslah menjadi instrumen yang menyatukan sebegitu Bahasa Melayu wajib didaulahkan demi kebersamaan kita anak Malaysia,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.