Sabtu, 1 Februari 2020

APAKAH MELALUI PPSMI, MAHATHIR MAHU MELINGKUPKAN PH?

Mahathir - Gambar hiasan


Pengumuman Tun Mahathir Mohamad selaku pemangku Menteri Pendidikan mahu mengembalikan semula pengajaran dan pembelajaran subjek Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) mengundang reaksi negatif banyak pihak terhadap keputusan itu.

Rata-rata pelbagai kelompok masyarakat menzahirkan rasa tidak setuju dengan pengembalian dasar yang pernah dilaksanakan pada 2002, tetapi kemudian dibatalkan kepada 2011.

Beberapa persatuan, NGO, kelompok masyarakat, pemimpin politik, individu ternama, ibu bapa dan lain-lainnya telah tampil bersuara menyatakan rasa tidak setuju mereka dengan keputusan Tun Mahathir itu.

Semuanya boleh dilihat dalam pelbagai medium media sosial di mana sehingga ini belum nampak ada yang menyokong keputusan Tun Mahathir itu.

Mereka melihat Tun Mahathir terburu-buru dalam keputusan terbaru ini, walhal beliau baru tidak sampai sebulan memangku jawatan Menteri Pendidikan.

Dipersoalkan apakah Tun Mahathir tidak sedar kemampuan guru-guru dalam penguasaan bahasa Inggeris dan jika mereka perlu menjalani latihan kemahiran, tidakkah ia akan memakan masa serta menelan kos yang tinggi?

Selain pengembalian dasar ini mengabaikan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, ia juga pasti menyebabkan murid-murid luar bandar terus ketinggalan dan menjadi mangsa dalam peperiksaaan.
Akhirnya, walaupun Tun Mahathir adalah Melayu, tetapi murid-murid Melayu juga yang jadi mangsa di sebalik dasar ini.

Dalam hal ini, apa agaknya pendirian Muhyiddin Yassin sekarang terhadap keputusan Tun Mahathir ini kerana PPSMI dibatalkan pada 2011 adalah ketika beliau menjadi Menteri Pendidikan.

Apakah beliau menyokong keputusan Tun Mahathir sekarang ini atau kekal dengan pendirian 2011 ketika membatalkan PPSMI itu?

Alasan Tun Mahathir bahawa subjek Sains dan Matematik memang sampai kepada kita dalam Bahasa Inggeris dan mengajarnya dalam bahasa tersebut tidak akan menimbulkan kekeliruan, tidaklah boleh diterima sama sekali sebagai logik yang munasabah.

Isunya bukan berkaitan ilmu itu sampai dalam bahasa apa, tetapi apakah bahasa penguasaan murid yang mahu menerimanya?

Jika begitu, mengapa Jepun dan Korea boleh maju dan terkedepan dalam kedua-dua bidang itu, sedangkan mereka belajar Sains dan Matematik bukan dalam bahasa Inggeris, tetapi dalam bahasa ibunda masing-masing?

Bukankah ini menunjukkan belajar ilmu dalam bahasa ibunda itu lebih penting?

Ternampak di sini bahawa Tun Mahathir hanya mahu memenuhi egonya saja dalam mengembalikan semula dasar PPSMI ini, sambil ingin memberitahu umum bahawa oleh kerana kuasa adalah dalam tangannya, beliau berhak mengembalikan semula dasar yang sudah dibatalkan itu.

Persoalannya, bukankah Tun Mahathir hanya pemangku Menteri Pendidikan saja?

Apakah ini bermakna beliau akan memangku jawatan tersebut selama-lamanya seolah-olah portfolio rasminya, selain Perdana Menteri?

Lupakah beliau bahawa manifesto PH tidak membenarkan Perdana Menteri memegang portfolio mana-mana kementerian?

Dari aspek politik pula, selain keputusan Tun Mahathir ini akan menyebabkan PH tidak popular di hati rakyat, ia juga bakal mengakibatkan kerajaan kehilangan banyak sokongan, terutama di luar bandar.

Di sebalik banyak isu dan kemelut lain masih tidak selesai, khususnya banyak janji manifesto belum ditunaikan, apakah tujuan Tun Mahathir mengembalikan PPSMI yang tidak popular di hati rakyat ini, selain ia juga pernah dibantah keras oleh pembangkang yang kini sudah bersamanya dalam kerajaan?

Apakah Tun Mahathir mahu melingkupkan PH sebelum beliau menyerahkan jawatan Perdana Menteri kepada penggantinya, Anwar Ibrahim?



Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.