SERAMAI 19 warga China dan seorang Vietnam ditahan kerana dipercayai terbabit dengan kegiatan dalam talian pada serbuan di empat kediaman di kawasan elit di Cyberjaya, semalam.
Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Datuk Khairul Dzaimee berkata, 35 anggota Bahagian Operasi, Siasatan dan Pendakwaan JIM Putrajaya terbabit pada operasi bermula11 pagi hasil maklumat awam.
“Individu ditahan membabitkan 16 lelaki dan seorang wanita China serta seorang wanita Vietnam berusia 18 tahun hingga 55 tahun.
“Hampir kesemuanya tinggal lebih masa menggunakan Pas Lawatan Sosial (PLS) manakala seorang lagi individu tidak mengemukakan pasport,” katanya pada kenyataan hari ini.
Khairul Dzaimee berkata, hasil serbuan, pihaknya yakin dapat melumpuhkan sindiket melindungi warga asing yang melakukan kesalahan imigresen dan aktiviti dalam talian.
“Ia berdasarkan penemuan tiga komputer, 17 komputer riba serta 34 telefon bimbit yang disyaki digunakan bagi tujuan berkenaan. Semua barangan itu turut dirampas,” katanya.
Beliau berkata, semua tahanan ditempatkan di Depot Tahanan Imigresen Putrajaya.
Kes disiasat mengikut Akta Imigresen 1953/63.
“Pemilik premis terbabit sudah dikenal pasti dan tindakan akan diambil dalam masa terdekat,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.