Isnin, 2 Disember 2019

PATI: Jangan gentar, ambil tindakan tegas tanpa pilih kasih

Kumara Sabapatty
MG021219_SAMBUTAN-HARI-IMIGRESEN05
Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yasin (tengah) diiringi Ketua Pengarah Jabatan Imigresen, Datuk Khairul Dzaimee Daud (tiga kanan) bergambar bersama pegawai dan anggota imigresen pada Sambutan Hari Imigresen 2019 di Jabatan Imigresen Malaysia, Putrajaya. foto SYAFIQ AMBAK
 

PUTRAJAYA – Semua pegawai Jabatan Imigresen perlu melengkapkan diri dengan pengetahuan dan kemahiran untuk bergerak seiring dengan penggunaan teknologi digital bagi menghadapi cabaran baharu.

Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, ancaman keselamatan negara ketika ini berubah daripada ancaman berbentuk tradisional kepada ancaman baharu.

Ia termasuk jenayah rentas sempadan, penyeludupan manusia, pendatang tanpa izin, pemalsuan dokumen perjalanan dan pengenalan diri, penyamaran sebagai warga negara tertentu, jenayah siber dan ancaman ekonomi gelap seperti perjudian dalam talian.

Perubahan itu, katanya, akan memberi kesan secara langsung kepada ketenteraman awam, kesejahteraan rakyat, kestabilan politik dan kemakmuran ekonomi.

Jadi, peranan pegawai imigresen amat penting kerana ancaman keselamatan bukan tradisional itu adalah sebahagian besar tugas mereka.

“Maka aspek pembinaan keupayaan pegawai imigresen menerusi latihan dan kursus yang berterusan adalah amat penting untuk memastikan mereka dapat menjalankan tugas yang diamanahkan dengan cekap dan berkesan.

“Dalam konteks ini kerajaan menerusi Belanjawan 2020 telah meluluskan sejumlah RM8 juta kepada Imigeresen untuk melaksanakan operasi latihan dan melengkapkan kemudahan asas di Akademi Imigresen, Port Dickson dan harap peruntukan ini dapat digunakan sepenuhnya supaya kecekapan sistem penyampaian dapat dipertingkatjkan melalui peningkatan tahap kecekapan pegawai-pegawai jabatan selain penggunaan teknologi.

“Operasi ke atas pendatang tanpa izin hendaklah dipertingkatkan dan dilaksanakan secara holistik dan mana-mana pendatang asing yang melanggar undang-undang hendaklah ditahan, didakwa di mahkamah dan dihantar pulang ke negara asal selain disenaraihitam,” katanya dalam ucapan merasmikan Sambutan Hari Imigresen di Ibu Pejabat Imigresen hari ini.

Tambah Muhyiddin, setiap tindakan undang-undang tegas mestilah diambil ke atas mana-mana pihak yang melindungi dan menggaji pendatang asing tanpa izin tanpa rasa pilih kasih.

Menurutnya, sehingga November 2019, pihak imigresen telah menjalankan sebanyak 16,011 operasi melibatkan pemeriksaan ke atas seramai 184,556 orang warga asing.

Hasilnya seramai 47,142 pendatang tanpa izin daripada pelbagai negara telah ditahan manakala sebanyak 1180 majikan telah ditahan dan 892 orang daripadanya telah didakwa di mahkamah, katanya.

Beliau dalam perkembangan sama memuji kejayaan pihak berkuasa berkenaan yang berjaya menahan dan menumpaskan sindiket penipuan terbesar melibatkan warga negara China dalam sejarah melibatkan penahanan 680 orang November lalu.

Malah katanya untuk memastikan imigresen sentiasa bersiap siaga menghadapi cabaran baharu, Jabatan Imigresen sedang membangunkan Sistem Imigresen Bersepadu Kebangsaan (NAIIS) bagi menggantikan Sistem MyImms yang telah berusia 20 tahun.

Katanya, sistem NAIIS ini akan menjadi game changer dalam tonggak baharu jabatan itu mengorak langkah ke hadapan.

“Aspek keselamatan dan ketenteraman awam merupakan tanggungjawab bersama semua pihak di negara ini dan bukan semata-mata terletak di bahu pasukan keselamatan yang merupakan antara intipati Dasar Keselamatan dan Ketenteraman Awam yang dilancarkan Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad 3 Oktober lalu.

“Ia dibangunkan secara holisitik dengan mengambil kira pelbagai pendekatan baharu terutama sekaliberkaitan penggunaan teknologi termasuk artificial intelligence dan internet of things berupaya mengoptimumkan kos dan sumber manusia disamping meningkatkan kecekapan jabatan sejajar tema ‘Imigresen Perkasa Negara Berjaya’,” tegasnya. – MalaysiaGazette

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.