Ust Hj Zamri Hashim
Pihak berkuasa perlu siasat, bertindak tegas terhadap pihak larang doa
1. MUIS berpendirian
bahawa tindakan menghalang bacaan doa dalam majlis Sekolah Perempuan
Methodis (MGS) di Pulau Pinang seperti yang dilaporkan di beberapa
akhbar semalam serta isu lain yang mempersoal amalan Islam dalam
keramaian, adalah satu tindakan biadab yang langsung tidak menghormati
Islam sebagai teras yang membentuk negara ini.
2. Doa dalam Islam bukanlah sekadar
amalan secara peribadi atau individu, tetapi dalam masa yang sama ia
adalah amalan yang dilakukan secara berjemaah serta syiar yang perlu
ditegakkan dalam masyarakat. Tidaklah tujuan doa dalam majlis melainkan
ianya hajat mahu melihat majlis itu berjalan dalam rahmatNya serta
kesejahteraan untuk seluruh ahli majlis berkenaan.
3. Kedudukan Islam di Malaysia bukan
sekadar dijamin berdasarkan Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan,
bahkan ianya adalah asas kepada terbentuk struktur kepimpinan negara ini
yang setiap masa diketuai seorang muslim iaitu Yang Di-Pertuan Agong.
Kedudukan Islam juga dijamin menjangkaui peringkat persekutuan iaitu
sehingga di peringkat negeri-negeri. Hakikatnya juga, tiada mana-mana
agama lain yang disebutkan dalam perlembagaan melainkan Islam.
4. Tingginya nilai Islam itu sehinggakan
saat kita menyambut kemerdekaan, terzahirnya syiar-syiar agama Islam
iaitu dilaungkan azan serta dibacakan doa sebagai langkah mula
terbentuknya tanah air yang kita cintai hari ini. Laungan ‘merdeka’ itu
didahului dengan laungan memohon rahmat serta perlindunganNya,
melambangkan tingginya nilai Islam dalam pembentukan negara ini.
5. Maka sepatutnya selepas 62 tahun kita
merdeka, semua pihak semakin m,enghormati serta mengiktiraf Islam
sebagai antara teras yang membentuk negara ini. Segala syiar atau
lambang Islam sepatutnya semakin dijunjung bukan semakin dipersoal oleh
seluruh masyarakat majmuk di Malaysia.
6. Namun apa yang berlaku adalah
sebaliknya, kebalakangan ini wujud pihak yang mempersoal laungan azan,
ibadah korban, amalan berpuasa, tulisan jawi, pendidikan agama Islam dan
terbaru berkenaan larangan doa. Hal ini menunjukkan seolah-olah
terdapat usaha berterusan untuk merungkai kedudukan Islam di negara ini.
7. Oleh itu, MUIS menyeru supaya pihak
berkuasa melakukan siasatan ini secara menyeluruh. Gerakan seperti ini
bukan sekadar akan menggugat Islam sebagai teras kenegaraan, tetapi ia
juga akan menggugat keharmonian masyarakat yang telah puluhan tahun kita
kecapi. Tindakan segera dan tegas perlu dilakukan demi memelihara
kesejahteraan kita bersama.
8. Ahli politik khususnya yang beragama
Islam tidak sepatutnya beterusan berdiam diri dalam isu sebegini. Ini
bukanlah isu yang berkaitan kepentingan mana-mana pihak, tetapi ia
berkait teras kenegaraan kita serta akidah dan keimanan yang anda
sendiri anuti. Gagasan rahmat sepatutnya menjadikan amar makruf dan nahi
mungkar semakin kukuh, kerana hanya dengan Islam sahaja rahmat dapat
dikecapi oleh seluruh alam. Berdiam diri saat kemungkaran beleluasa
bukanlah pilihan.
9. Akhir sekali, ingatlah bahawa
keharmonian yang kita kecapi selama ini adalah hasil toleransi yang
diamalkan oleh muslimin di Malaysia berdasarkan ajaran Islam. Moga
keharmonian ini akan berkekalan dengan semakin kukuhnya kedaulatan Islam
di Malaysia ini.
Memandu masyarakat mendaulat syariat
*Sohibus Samahah Ust Hj Zamri Hashim
Pengerusi MUIS
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.