Selasa, 1 Oktober 2019

Larangan merokok: 4,332 notis dikeluarkan di Selangor

siti hafidah 

 

Denda, penjara jika premis gagal letak notis amaran mulai tahun depan

SHAH ALAM – Sebanyak 4,332 notis dikeluarkan terhadap pemilik premis makanan dan perokok sepanjang tempoh penguatkuasaan pendidikan bagi larangan merokok di premis makanan yang berkuat kuasa sejak awal Januari tahun ini.

Pengarah Jabatan Kesihatan Selangor, Datuk Dr Khalid Ibrahim berkata, daripada jumlah itu 232 notis dikeluarkan terhadap perokok kerana merokok di premis makanan manakala 4,100 notis lagi dikeluarkan kepada pemilik premis kerana terdapat kesan rokok seperti puntung rokok dan abu rokok di premis mereka.

“Semua ini bagaimanapun tiada membabitkan kompaun kerana kita masih di dalam tempoh penguatkuasaan pendidikan dan hanya pada 1 Januari 2020 baru kami akan mengenakan tindakan kompaun kepada individu dan pemilik premis terbabit.

“Bermula 1 Januari 2020, jika perokok ditahan mereka boleh didenda sehingga RM10,000 atau penjara dua tahun, manakala premis makanan yang tidak meletakkan notis amaran juga boleh dikenakan denda RM3,000 atau penjara enam bulan,” katanya kepada pemberita selepas melakukan operasi larangan merokok di premis makanan di sekitar Pusat Komersial Seksyen 7 di sini hari ini.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kesihatan, Kebajikan, Pemberdayaan Wanita dan Keluarga Selangor, Dr Siti Mariah Mahmud.

Dr Khalid menambah larangan merokok berkenaan juga membabitkan rokok elektronik dan shisha.
“Bagi shisha walaupun ia bukan dijual oleh pemilik premis mereka juga boleh dikenakan tindakan sekiranya shisha ini dihisap di premis mereka,” katanya.

Beliau berkata, bagi tempoh Januari lepas hingga hari ini, 25,000 premis makanan sekitar Selangor telah diperiksa dan pihaknya menyasarkan untuk memeriksa 40,000 premis makanan lagi sebelum 1 Jan 2020.

“Sepanjang pemeriksaan ini kami juga dapati 4,300 premis masih berdegil tidak memaparkan papan tanda larangan merokok,” katanya.

Katanya lagi, pihaknya ingin memberi peringatan kepada pemilik premis mengenai tanggungjawab mereka untuk meletakkan tanda larangan merokok dan memastikan tiada orang merokok sebagaimana Peraturan 12, Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004. – Bernama


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.