Kelayakan umur ikut pindaan Perlembagaan Persekutuan
PUTRAJAYA – Parti politik boleh menamakan calon umur 18 tahun buat pertama kalinya pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai, Johor.
Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR)
Datuk Azhar Azizan Harun berkata, ia berikutan pindaan kepada
Perlembagaan Persekutuan yang sudah diwartakan.
“Parti politik boleh meletakkan calon
berusia 18 tahun kerana pindaan itu sudah diwartakan,” katanya sidang
media selepas Mesyuarat Khas urusan PRK Parlimen Tanjung Piai di sini,
hari ini.
Bagaimanapun, Azhar berkata, kelayakan
calon umur 18 tahun untuk layak bertanding akan ditentukan semasa hari
penamaan calon iaitu pada 2 November oleh pegawai pengurus.
SPR hari ini menetapkan PRK Parlimen
Tanjung Piai, Johor pada 16 November ini. Hari penamaan calon pula
ditetapkan pada 2 November, manakala tarikh mengundi awal pada 12
November .
Pindaan Perkara 47 iaitu mengenai calon
umur 18 dan Perkara 119 mengenai had umur mengundi Perlembagaan
Persekutuan mendapat perkenan Yang Dipertuan Agong pada 4 September dan
diwartakan pada 10 September lepas.
Azhar berkata, SPR sedang mengambil
tindakan untuk melibat urus secara bipartisan minggu ini untuk
membincangkan perkara berhubung calon umur 18 tahun.
“SPR akan terlibat dengan parti-parti
politik tidak lama lagi kerana ia adalah inisiatif bipartisan dan akan
duduk bersama untuk membincangkan apa yang telah diluluskan dan
diwartakan,” katanya.
Ditanya pengundi umur 18 tahun, Azhar
berkata, golongan itu belum lagi boleh mengundi dalam PRK Tanjung Piai
kerana ia belum dikuat kuasa pelaksanaannya.
“Penurunan had umur mengundi dari 21
tahun hingga 18 tahun belum dikuatkuasakan. Ia akan dikuatkuasakan
apabila diputuskan dan diwartakan pada masa akan datang,” katanya.
Ditanya mengenai salah laku ketika PRK
Tanjung Piai, Azhar berkata, beliau berharap ia tidak akan terjadi dan
menyeru semua calon dan parti politik yang terlibat untuk mematuhi
peraturan dan peruntukan perundangan. – Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.