amai pelanggan alasan tak mahu mohon sijil halal
KUANTAN
– Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) mengesahkan hanya dua restoran
mamak di negeri ini memegang sijil halal, dengan kedua-duanya beroperasi
di daerah ini.
Timbalan Pengarah JAIP Datuk Mohd Ghazali
Abdul Aziz berkata, mereka berhasrat mahu meningkatkan kesedaran
memiliki sijil halal kepada pengusaha restoran mamak dan kedai lain
secara amnya, menerusi kempen dan kaedah turun padang.
Katanya, keengganan pengusaha memohon
sijil itu berkemungkinan kerana perniagaan menerima ramai pelanggan
sehingga tidak memberi kesan terhadap keperluan memiliki sijil itu.
“Melalui pemantauan yang dilakukan,
pengusaha ini cukup selesa dengan kehadiran ramai pelanggan yang
menyebabkan ada di antara mereka tidak mahu memohon sijil walaupun
prosesnya tidaklah rumit.
“Mereka hanya perlu bayar RM200 bagi
tempoh dua tahun pemilikan sijil halal, dengan segala syarat seperti
maklumat berkenaan bahan mentah serta segala aspek kebersihan dipenuhi,”
katanya.
Mohd Ghazali berkata demikian kepada
pemberita, semasa ditemui pada Majlis Penyerahan Sijil Halal kepada
dewan makan Maahad Tahfiz Negeri Pahang di sini hari ini, kepada
Pengerusi Ikip Advanced Skills Centre (IASC), Datuk Ahmad Munawar Abdul
Jalil.
Selain proses permohonan yang mudah, Mohd
Ghazali berkata, pengusaha restoran juga tidak perlu bimbang jika tidak
mempunyai kakitangan untuk menguruskan hal itu, kerana kakitangan JAIP
bersedia membantu memudahkan urusan.
“Memiliki sijil halal memberi nilai
tambah kerana ia memastikan kualiti penyediaan makanan termasuk
kandungannya adalah bersih, selamat dan mengikut syarak. Walaupun tidak
mempunyai sijil, kita tahu penyediaan makanan oleh mereka yang Islam,
insya-Allah mengikut hukum,” katanya.
Beliau juga berkata, sebanyak 452 sijil
halal telah dikeluarkan kepada premis perniagaan meliputi kedai makan,
pembekal bahan mentah serta hotel di Pahang, setakat ini.
“Peningkatan sebanyak 60 peratus pemilik
sijil halal dicatatkan pada tahun ini berbanding tahun lepas. Ia
menunjukkan kesedaran mengenai keperluan memiliki sijil halal semakin
meningkat walaupun agak perlahan.
“Jika pengusaha masih berdegil, maka ia
terserah kepada pengguna untuk membuat pilihan. Kuasa pengguna sangat
besar dan ia mampu mengubah pendirian peniaga yang masih berdegil dalam
isu sijil halal,” katanya. -Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.