Khamis, 19 September 2019

Jual MyKad: Rasuah makin serius bila kerajaan membisu

siti hafidah 

 

Keselamatan negara di bawah pentadbiran PH semakin parah: Berjasa

BANGI – Kerajaan Pakatan Harapan terbukti tidak serius dalam memenuhi manifesto mereka untuk menangani isu rasuah yang masih parah di era ‘Malaysia Baharu’.

Hal itu dibuktikan dengan pembongkaran aktiviti penjualan MyKad kepada warga asing, yang turut membabitkan kakitangan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

Ahli Jawatankuasa Pusat Parti Barisan Jemaah Islamiah SeMalaysia (Berjasa), Muhammad Thalhah Kamarol Zaman kesal kerana keselamatan negara di bawah pentadbiran kerajaan rasis PH kini semakin parah.

Malah katanya, isu MyKad ini juga menunjukkan kepada rakyat Malaysia bahawa gejala rasuah semakin menjadi-jadi dalam pentadbiran sekarang.

“Setakat ini belum ada sebarang langkah agresif daripada kerajaan PH untuk menangani isu rasuah.

“Belum ada sebarang akta baharu diluluskan untuk membasmi rasuah malah dalam isu tertentu seperti banglo Menteri Kewangan, tindak tanduk kerajaan yang diwakili AG sangat mencurigakan,” katanya kepada Ismaweb.

Sehubungan itu, Thalhah menggesa kerajaan memandang serius isu penjualan MyKad dan segera mengambil tindakan.

Katanya, kerajaan PH perlu bersuara segera dalam isu ini dan sikap membisu seribu bahasa menunjukkan mereka tidak melihat kes ini sebagai kes serius.

Sebelum ini, media melaporkan beberapa individu termasuk pegawai kerajaan berpangkat tinggi ditahan polis susulan pembongkaran aktiviti penjualan MyKad kepada warga China di Pulau Pinang.

Dalam operasi khas, beberapa kakitangan dan pegawai sebuah jabatan kerajaan di Pulau Pinang termasuk di Putrajaya ditahan mengikut Akta SOSMA.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.