Unit Kesihatan Awam, Ikatan Pengamal Perubatan dan Kesihatan Muslim Malaysia (i-Medik)
RM410 juta kos rawatan penyakit akibat jerebu,RM203 juta untuk MC
FENOMENA jerebu adalah
keadaan di mana terdapat partikel-partikel kecil yang tidak boleh
dilihat oleh mata kasar yang terapung-apung di udara. Ia berlaku
disebabkan oleh kesan daripada aktiviti manusia seperti pembakaran
terbuka, asap dari kilang-kilang dan juga kenderaan. Disebabkan
kewujudan partikel yang banyak di udara dan berkelompok, maka ia boleh
menyekat pancaran cahaya matahari ke bumi sehingga mengurangkan jarak
pandangan mata kasar.
Jerebu juga mengandungi gas-gas
pencemaran lain seperti karbon monoksida, nitrogen dioksida, sulfur
dioksida, ozon dan pelbagai lagi gas berbahaya mengikut jenis punca
jerebu tersebut. Jerebu yang sedang dialami Malaysia selama beberapa
minggu kebelakangan ini disebabkan oleh pembakaran secara terbuka di
Indonesia dan beberapa tempat di Malaysia yang tidak terkawal sehingga
menyebabkan pembakaran hutan yang meluas.
Indeks pencemaran udara (IPU) digunakan
untuk mengukur kepadatan gas-gas pencemaran dan partikel-partikel dalam
udara ini sehingga ke saiz 2.5 micron atau lebih kecil dari rambut yang
dibelah tiga. Partikel yang terawang-awang di udara terdiri daripada
pelbagai saiz. Partikel ini dikenali sebagai particulate matter (PM)
mempunyai saiz di antara 2.5 μm (PM2.5) hingga 10 μm (PM10). IPU
dilabelkan sebagai selamat 0-50, sederhana 51-100, tidak sihat 101-200,
tidak sihat 201-300 dan berbahaya untuk lebih 300. Darurat boleh
diisytiharkan jika bacaan IPU melebihi 500.
Bagi PM, saiz sekecil ini mampu untuk
memasuki paru-paru malah boleh menembusi kapilari darah sekiranya ianya
lebih kecil daripada 1 micron sekaligus mengakibatkan masalah kesihatan.
Ia boleh menyebabkan keradangan kepada paru-paru secara akut mahupun
secara kronik jika terdedah pada suatu tempoh masa yang lama. Menurut
Brook et al., reaksi tubuh terhadap inhalasi partikel ternafas berlaku
melalui dua cara. Cara pertama adalah melalui tindak balas langsung dan
tidak langsung partikel ternafas ke atas kardiovaskular, tekanan darah,
kerintangan insulin dan tisu adipos. Cara kedua adalah tindak balas
tubuh secara akut, sub-akut dan kronik.
Kajian epidemiologi mendapati pendedahan
habuk bersaiz PM2.5 selama satu hingga dua hari boleh mengakibatkan
tekanan darah sistolik meningkat sebanyak 2.8 mmHg. Baccarelli et al.
Mendapati, tekanan darah sistolik dalam kalangan pemandu dan pekerja
pejabat meningkat sebanyak 0.98 mmHg bagi setiap kenaikan 10 µg/m3
kepekatan habuk PM10. Brook et al. pula mendapati, pendedahan habuk
PM2.5 mempunyai hubungan dengan peningkatan tekanan darah diastolic
sebanyak 3.6 mmHg walaupun hanya selama 2 jam pendedahan.
Selain itu, kajian epidemiologi
kes-kawalan di Rom, Itali mendapati paras purata kolesterol lipoprotein
berketumpatan tinggi atau High-Density Lipoprotein (HDL) dan
trigliserida (TG) meningkat dalam kalangan responden yang terdedah pada
partikel asap trafik berbanding kumpulan kawalan. Di North Carolina,
Amerika Syarikat, kajian mendapati setiap kenaikan 1 µg/m3 partikel akan
meningkatkan paras trigliserida (TG) dan kolesterol berketumpatan
rendah atau low- density cholesterol (LDL), masing-masing sebanyak 4.8
peratus dan 1.2 peratusdaripada paras normal selepas terdedah pada
partikel pencemar udara ternafas di Bandar selama 12 minggu.
Antara kesan lain ke atas kesihatan
manusia adalah sesak nafas, asma, mata berair dan kadang-kadang
menyebabkan sakit kepala. Kajian Shahwahid menunjukkan kadar pesakit ke
klinik dan hospital pada 2013 bertambah secara ketara semasa jerebu
sehingga 30 perats kerana batuk-batuk, gatal mata, kabur pandangan dan
gatal tekak. Othman pula melaporkan kadar kemasukan ke hospital di
Selangor dan Kuala Lumpur bagi penyakit jangkitan paru-paru, serangan
jantung, asma dan tekanan darah tinggi sehingga 63 peratus, semasa
tempoh jerebu pada tahun 2005 hingga 2006.
Baru-baru ini, Ketua Perkhidmatan
Oftalmologi Kementerian Kesihatan, Dr Nor Fariza Ngah berkata,
peningkatan sebanyak 20 hingga 30 peratus pesakit di klinik mata
kerajaan bagi mendapatkan rawatan mata akibat jerebu dan kebanyakannya
seperti alergi konjungtivitis yang tidak berjangkit, tetapi menyebabkan
ketidakselesaan seperti mata merah dan berair. Sementara itu, Menteri
Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, fasiliti kesihatan di
seluruh negara sentiasa bersiap siaga dalam menangani sebarang
peningkatan mendadak akibat situasi semasa ini.
Oleh itu, pesakit jantung dan paru-paru
kronik, warga emas, wanita mengandung dan kanak-kanak dinasihatkan
supaya mengurangkan aktiviti di luar bangunan. Sekiranya terpaksa berada
di luar, pendekkan tempoh berada di luar bagunan. Mereka dinasihati
untuk memakai topeng muka terutamanya jenis N95 yang paling berkesan
untuk menapis udara. Namun, topeng muka biasa masih boleh dipakai
daripada tidak menggunakan perlindungan pernafasan bagi mengurangkan
risiko.
Selain itu, jerebu juga menurunkan
produktiviti dan kualiti hidup masyarakat disebabkan tidak dapat keluar
bekerja manakala murid-murid tidak dapat pergi ke sekolah bagi mengelak
ancaman asap jerebu. Sehingga tulisan ini sahaja, 210 buah sekolah
sekitar Selangor ditutup pada 17 September 2019 yang melibatkan puluhan
ribu murid-murid dan pelajar-pelajar. Ini pastinya mengganggu proses
pengajaran dan pembelajaran di sekolah.
Selain itu, rakyat tidak lagi dapat
keluar dengan selamat dan bebas untuk aktiviti luar samada bekerja,
bersukan, melancong mahupun berurus niaga. Rata-rata rakyat menghabiskan
cuti panjang baru-baru ini hanya dengan duduk di rumah sahaja. Malah,
pendapatan peniaga-peniaga di tempat perlancongan seperti Port Dickson
dan penarik beca di Melaka juga terjejas kira-kira 60 peratus akibat
jerebu yang melanda negara.
Kesan ekonomi kepada negara dapat dilihat
melalui kos perubatan yang meningkat sehingga RM119 juta untuk
kemasukan wad dan RM410 juta untuk kos rawatan penyakit berkaitan
jerebu. Manakala, RM203 juta kerugian akibat cuti sakit oleh
pekerja-pekerja dan RM958 juta kerugian dari kehilangan pendapatan
(Othman 2016). Secara tidak langsung ia akan menyebabkan kurangnya
pendapatan negara dari cukai, aliran tunai dan kedatangan pelancong
asing ke Malaysia.
Kesan jerebu tidak seharusnya dilihat
hanya kepada simptom yang dialami pesakit-pesakit tetapi juga kesan
sosial, peluang ekonomi dan penggunaan perbelanjaan kerajaan untuk
menangani isu-isu berkaitan jerebu. Semakin lama jerebu dibiarkan
berlaku, pastinya semakin teruk kesannya kepada masyarakat dan negara.
Lantaran itu cegahlah sebelum menjadi parah.
*Dr Abdul Rahman Ramdzan, MPH (UKM), DrPH candidate
*Dr Mohd Ihsanuddin Abas, MPH (UKM), DrPH candidate
Unit Kesihatan Awam, Ikatan Pengamal Perubatan dan Kesihatan Muslim Malaysia (i-Medik)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.