Rabu, 21 Ogos 2019

Pasang bendera pun salah, usah mimpi nak perjuang negara

fazleen safina

 

 Pelaku perlu meminta maaf sama ada sengaja atau tidak: Pemuda Isma

BANGI – Isu memasang Jalur Gemilang terbalik telah membuktikan cakna dan semangat patriotisme dalam jiwa masyarakat semakin pudar, kata Exco Penerangan Pemuda Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), Muslim Abdullah Zaik.

Beliau berkata, pelaku yang berbuat demikian sama ada sengaja atau tidak perlu meminta maaf dan disiasat.

“Sebagai contoh, Malaysia pernah tersalah cetak bendera Indonesia dalam booklet acara Sukan SEA dan ia mengundang kemarahan Indonesia, namun Malaysia telah meminta maaf atas kesalahan itu,” katanya.

Terdahulu, tular dalam media sosial mengenai pemasangan Jalur Gemilang yang dinaikkan secara terbalik di sebuah sekolah di Pahang.

Namun, Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador memberitahu, tindakan berkenaan tidak disengajakan, yang mana pemasangan Jalur Gemilang dilakukan warga asing.

Selain itu, sebuah pusat pameran, jualan dan servis kenderaan di Sungai Isap juga dikatakan memasang Jalur Gemilang terbalik, dan difahamkan permohonan maaf sudah dibuat.

Apa sahaja alasan, Muslim berkata, tindakan memasang Jalur Gemilang terbalik ini amat memalukan, malah menunjukkan ia dianggap sekadar ritual tradisi yang tidak difahami makna dan falsafahnya.

Beliau berkata, seluruh rakyat perlu memenuhi ilmu di dada dengan sejarah perjuangan pembentukan negara bagi mengelakkan retorik slogan-slogan kebangsaan menghasilkan generasi separa masak, yang juga tiada semangat perjuangan dan semangat patriotik.

“Jika pasang bendera negara pun sudah salah, bagaimana kelak ingin berkorban demi kedaulatan dan identiti negara?” soalnya.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.