Jumaat, 28 Jun 2019

Adakah ungkapan Cina hilang ‘Ong’ tulis bahasa kebangsaan?

siti hafidah

 

Tak mustahil setiausaha politik bapa ultra kiasu bertanding PRU15

BANGI – “Benar kata-kata netizen, ini bukan negara China atau Beijing. Bayangkan jika pelawat atau pelancong masuk ke pejabat menteri ultra kiasu itu, sudah tentu dia akan tertanya-tanya bahasa kebangsaan di negara ini ‘bahasa Cina’ ke?

“Kalau tidak silap saya, dahulu menteri ultra kiasu sangat teruja dan obses dengan kata-kata Umar Abdul Aziz. Kenapa tidak ditampalkan sahaja kata-kata itu mengikut (ucapan) beliau. Jarang sekali nama Umar Abdul Aziz kini kedengaran sejak menang PRU14 dan menjadi menteri. Rupa-rupa mahu mencairkan hati Melayu.”

Demikian sindiran pedas, pendakwah bebas, Prof Dr Ridhuan Tee Abdullah mengulas kecaman netizen terhadap gambar tular di media sosial menunjukkan ungkapan bahasa Cina ditampal pada dinding pejabat Menteri Kewangan, Lim Guan Eng.

Berikutan menerima kecaman, peguam yang juga setiausaha politik kepada Anggota Parlimen Iskandar Puteri, Syahredzan Johan tampil ‘mempertahankan’ menteri berkenaan dan menegaskan perkara itu tidak seharusnya menjadi isu.

“Ini bukan isu bahasa. Apa yang ditampal itu bukannya papan tanda dalam Pejabat Menteri Kewangan. Tulisan Cina itu tidak diterjemahkan kepada ‘Selamat Datang ke Pejabat Menteri Kewangan, Lim Guan Eng’, atau apa-apa yang sewaktu dengannya.

“Ia adalah ekspresi budaya yang dizahirkan dalam bentuk perkataan Cina. Samalah juga kalau kita ada pejabat, dan kita letak ayat-ayat al-Quran. Ia bukan untuk tujuan rasmi, tetapi kerana ia sebahagian daripada identiti kita, dan kita mahu mendapat ketenangan daripada ayat-ayat itu,” kata Syahredzan.

Menempelak kenyataan peguam itu, Ridhuan Tee berkata, sebagai seorang menteri yang menjunjung Perlembagaan negara, Guan Eng sepatutnya mendahulukan bahasa kebangsaan – Bahasa Melayu – kemudian diikuti dengan bahasa asing.

“Geleng kepala saya membaca kenyataan ini. Tidak mustahil dalam PRU15 akan datang, setiausaha kepada politik kepada bapa ultra kiasu akan bertanding atas tiket parti ultra kiasu simbol roket ini dalam kawasan majoriti Cina.

“Ultra kiasu pula akan mendabik dada mengatakan, mereka tidak rasis kerana mengangkat orang Melayu bertanding di kawasan majoriti Cina. Perhatikan kata-kata saya (pada) PRU15 tidak lama lagi,” katanya ketika dihubung Ismaweb hari ini.

Ridhuan Tee berkata, sekiranya benar ungkapan tulisan bahasa Cina ditampal pada dinding pejabat menteri kewangan itu sebahagian daripada budaya bangsa Cina, ia bagaimanapun tidak boleh menenggelamkan budaya kebangsaan.

“Apakah kita tidak pernah membaca Dasar Kebudayaan Kebangsaan, yang mana budaya Melayu dan Islam hendaklah menjadi teras, kemudian baharulah budaya-budaya lain?

“Apakah kita wajar ‘mencinakan’ pejabat menteri, hanya kerana menterinya Cina? Membandingkan dengan ‘kalendar kuda’ dengan ungkapan Cina itu pun hujah yang sangat naif sebagai seorang peguam.

“Kalendar kuda pada hemat masih boleh diterima kerana tulisan Cina hanya berada di penjuru kalendar. Huruf dan angka masih roman (Bahasa Melayu),” katanya dipercayai merujuk kepada persoalan dibangkitkan Syahredzan sama ada menteri tidak boleh meletakkan ‘kalendar kuda’ dalam pejabat susulan mempunyai tulisan Cina.

Dalam pada itu, Ridhuan Tee yang juga Pensyarah di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) mempersoalkan sama ada ungkapan tulisan Cina itu akan hilang ‘ong’nya sekiranya ditulis dalam bahasa kebangsaan negara ini.

“Bermain diminda saya, adakah dengan ungkapan ‘bahasa Cina’ baru ada ‘ong’. Sekiranya dituliskan dalam Bahasa Melayu, maka akan hilang ‘ong’nya.

“Jika begitulah keadaan nyata sekali bahawa ultra kiasu menghina bahasa kebangsaan. Jika ungkapan itu ditulis dalam Bahasa Melayu, mungkin ‘sial’ yang datang, bukannya ‘ong’,” kata beliau.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.