Kadar tarif kekal 39.45sen/kWj, 2.55 sen/kWj bagi pengguna domestik
PUTRAJAYA – Tiada surcaj elektrik dikenakan kepada pengguna domestik bagi tempoh 1 Julai hingga 31 Disember 2019.
Suruhanjaya Tenaga menerusi kenyataannya
hari ini berkata, kerajaan bersetuju mengekalkan kadar semasa surcaj
tarif elektrik di Semenanjung Malaysia sebanyak 2.55 sen/kilowatt-jam
(kWj) untuk pengguna bukan domestik khususnya pengguna komersil,
industri dan lain-lain bagi tempoh enam bulan tersebut.
Kenyataan itu berkata, kadar tarif asas kekal pada 39.45 sen/kWj dalam tempoh 1 Julai hingga 31 Disember itu.
Kadar itu ditetapkan setelah kerajaan
menetapkan baki surcaj Imbalance Cost Pass-Through (ICPT) sebanyak
RM1,148.27 juta atau bersamaan 2.55 sen/kWj, dilaksanakan di Semenanjung
Malaysia bagi tempoh itu.
Selain itu, hasil semakan mekanisme ICPT
pada setiap enam bulan, yang dibuat suruhanjaya itu bagi tempoh 1
Januari lepas hingga 30 Jun 2019, berlaku peningkatan dalam kos bahan
api dan kos penjanaan lain, hingga menyebabkan surcaj ICPT sebanyak
RM1,592.13 juta bersamaan dengan 2.94 sen/kWj.
Faktor yang menyumbang kepada peningkatan
kos antaranya ialah kenaikan harga purata bahan api arang batu kepada
USD99.235/tan metrik, berbanding harga diunjurkan dalam tarif asas bagi
tempoh kawal selia kedua Peraturan Berasaskan Insentif (IBR) (Regulatory
Period 2 (RP2): 2018 hingga 2020) iaitu USD75/tan metrik.
Peningkatan harga bahan api arang batu
pula adalah di luar kawalan kerajaan kerana ia adalah berasaskan harga
pasaran global, katanya.
Menurut kenyataan itu, dalam tempoh yang
sama, melalui tatacara dan metodologi mekanisme IBR RP2 terdapat
penjimatan daripada pelarasan hasil Tenaga Nasional Bhd (TNB) berjumlah
RM336.70 juta.
“Oleh itu, kerajaan memutuskan supaya
penjimatan itu digunakan sepenuhnya untuk mengurangkan surcaj ICPT
bersekali dengan peruntukan daripada dana Kumpulan Wang Industri
Elektrik berjumlah RM107.16 juta bagi meringankan beban rakyat,” kata
kenyataan itu. – Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.