Tommy Thomas ada sembunyikan sesuatu dalam prosiding inkues
BANGI– “Sudah enam bulan Adib meninggalkan kita, namun keadilan buat diri
dan keluarganya masih lagi tiada. Malah, ada pihak yang berkepentingan
cuba campur tangan dalam isu ini sehingga mengelirukan rakyat secara
umumnya.”
Demikian luahan kesal Presiden Ikatan
Muslimin Malaysia (Isma), sebuah pertubuhan Melayu Islam sederhana, Haji
Aminuddin Yahaya berhubung prosiding inkues kematian anggota bomba,
Muhammad Adib Mohd Kassim, yang sehingga kini masih menimbulkan tanda
tanya.
Muhammad Adib, yang juga anggota Unit
Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Jabatan Bomba dan Penyelamat
(JBPM) Subang Jaya, parah selepas diserang dan dipukul sekumpulan
perusuh dalam kejadian kekecohan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ
25, Subang Jaya pada 27 November tahun lalu.
Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada 17 Disember di Institut Jantung Negara (IJN) selepas 21 hari bertarung nyawa.
Sebelum ini media melaporkan Peguam
Negara, Tommy Thomas akan mengarahkan majistret untuk membuat inkues
bagi menentukan sebab kematian Muhammad Adib.
Pada Mei lalu, peguam mewakili
Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dan Jabatan Bomba dan
Penyelamat Malaysia (JBPM), Syazlin Mansor mengumumkan menarik diri
daripada prosiding inkues kematian Muhammad Adib di hadapan Hakim Rofiah
Mohamad, yang bersidang sebagai Koroner, ketika prosiding hari ke-37 di
Mahkamah Koroner di Shah Alam.
Beliau turut mendedahkan mengenai campur tangan Peguam Negara dalam prosiding inkues kematian berkenaan.
Sementara Tommy menerusi kenyataan pada
28 Mei lalu, pula tampil menjelaskan kekeliruan dan spekulasi yang
timbul berhubung penarikan diri Syazlin daripada mewakili KPKT serta
JBPM dalam prosiding inkues kematian Muhammad Adib.
Menerusi empat sebab mengapa Syazlin
sepatutnya menolak pelantikan kerajaan, Tommy berkata, peguam berkenan
menerima pelantikan untuk mewakili kementerian dan JBPM dalam prosiding
inkues, selain pada masa sama dilantik bagi mewakili keluarga Muhammad
Adib.
Bagaimanapun, selepas mengadakan
perbincangan dengan keluarga arwah, khususnya bapa Allahyarham, Mohd
Kassim Abdul Hamid, Syazlin bertekad akan terus mewakili keluarga
anggota bomba itu dalam prosiding inkues.
Mengulas mengenai arahan Tommy
mengarahkan Syazlin menarik diri daripada prosiding inkues kematian
Muhammad Adib, Haji Aminuddin berkata tindakan itu salah satu bukti
rosaknya integriti Peguam Negara.
“Ini belum pula disentuh mengenai
kesungguhan kerajaan yang mahu memansuhkan hukuman mati mandatori
termasuk kesalahan membunuh secara tiba-tiba akhir-akhir ini. Apakah ada
kaitannya dengan kes kematian Adib ini? Atau hanya satu kebetulan?”
soal beliau.
Pada masa sama, Haji Aminuddin yang juga
Pengerusi Gerakan Pembela Ummah (UMMAH) hairan mengapa banyak persoalan
timbul mengenai kes Muhammad Adib.
“Apa yang Tommy Thomas cuba sembunyikan?
Baik. Mungkin ada juga yang tidak bersetuju atau agak ‘reserved’ jika
kita katakan Peguam Negara ada menyembunyikan sesuatu dalam kes ini,
tetapi saya yakin kita semua boleh bersetuju bahawa beliau perlu
berhenti daripada campur tangan dalam kes ini.
“Malah, adil juga untuk kita tuntut Tommy
Thomas meletakkan jawatannya sebagai Peguam Negara berdasarkan
‘performance’ buruk beliau sepanjang menjawat jawatan ini. Lihat sahaja
kontroversi-kontroversi lain yang membabitkan beliau.
“Tidak sampai setahun pun, tetapi
sangatlah banyak terutamanya isu ICERD, Statut Rom, UEC, kes rasuah
banglo Lim Guan Eng dan pelbagai lagi,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.