Selepas menyiapkan 19 judul buku, Ketua Penerangan PAS Nasrudin Hassan kini melengkapkan koleksinya yang ke-20 melalui naskhah terbaru yang membedah bait-bait kata dalam lagu rasmi PAS.
Kata Nasrudin lagu rasmi partinya itu bukan sembarangan lagu sebaliknya menggariskan peraturan dan arahan rasmi buat semua anggotanya.
Untuk menjelaskan apa yang terkandung dalam lagu berkenaan, bekas anggota parlimen Temerloh itu berkata buku tulisannya dipersembahkan secara ilmiah namun tetap santai dan menarik.
"Ia diserikan dengan infografik bagi memudahkan pembaca mengambil perkara-perkara utama yang diutarakan dalam buku tersebut," katanya kepada Malaysiakini hari ini.
Menurut Nasrudin buku berjudul Syarah Lagu PAS akan menjelaskan matlamat perjuangan dan dasar parti berkenaan.
"Demikian juga ia menjelaskan bagaimana PAS berjuang di pentas politik demokrasi negara," katanya.
Nasrudin berkata dia menghabiskan masa selama sebulan menyiapkan buku setebal 250 halaman tersebut.
Bukan sekadar bakar semangat
Untuk rekod Mohd Asri pernah memimpin PAS sebagai yang dipertua kebangsaan dan diketepikan pewakilan dalam salah satu muktamarnya.
Beliau kemudian meletak jawatan dan menubuhkan parti lain sebelum akhirnya menyertai Umno.
Menariknya Syarah Lagu PAS itu akan dilancarkan semasa parti itu mengadakan muktamar tahunannya di Indera Mahkota, Pahang - sebuah negeri yang ditadbir Umno - bulan depan.
Kata Nasrudin dia memang sudah lama berhasrat mahu menulis secara mendalam kata-kata dalam lagu berkenaan namun tertunggak beberapa kali.
"Benar, ia bukan sekadar lagu untuk membakar semangat juang tetapi ia lebih bersifat modul perjuangan yang merangkumi aspek tarbiyah, dakwah dan siasah yang wajib dilunaskan oleh semua ahli PAS," katanya.
Justeru, Nasruddin tidak lupa menyarankan semua pihak - khususnya anggota PAS - memiliki senaskah buku karangannya itu.
"Saya mengharapkan semua ahli PAS khasnya dan semua pembaca amnya dapat menghalusi setiap bait kata pada lagu rasmi PAS tersebut sekaligus fahami, hayati dan realisasikannya di pentas perjuangan," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.