Selasa, 28 Mei 2019

Sultanah T’ganu mohon saman diputuskan tanpa bicara penuh



   
Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah memfailkan permohonan untuk mendapatkan perintah penghakiman terus dalam kes saman yang dikemukakan terhadap pengasas dan editor Sarawak Report, Clare Rewcastle-Brown serta dua lagi.

Saman fitnah itu berhubung kenyataan dalam buku ‘The Sarawak Report – The Inside Story of the 1MDB Expose’.

Perkara itu disahkan oleh peguam Sultanah Nur Zahirah, Mohd Haaziq Pillay ketika ditemui selepas pengurusan kes saman di kamar hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Ahmad Zaidi Ibrahim pagi ini.

"Kami memfailkan permohonan ini di bawah Perintah 14A (dari Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012) yang bertujuan supaya perkara itu untuk diputuskan secara terus oleh hakim (tanpa perbicaraan mahkamah) dengan membuat keputusan sama ada kenyataan (oleh Rewcastle- Brown) itu adalah fitnah.

"Mereka (defendan) memfailkan jawapan mereka (berhubung permohonan Perintah 14A) pada 24 Mei tetapi kami masih belum menerimanya. Kami sepatutnya memfailkan afidavit sebagai jawapan pada 12 Jun.

"Saman itu telah ditetapkan untuk pengurusan kes pada 17 Jun untuk hakim memberikan arahan mengenai penghujahan di bawah Perintah 14A," katanya, sambil menambah bahawa permohonan itu difailkan pada 13 Mei lalu.

Menurut Perintah 14A, plaintif boleh memfailkan permohonan untuk saman itu untuk diputuskan tanpa perlu melalui perbicaraan penuh.

Penghakiman terus adalah keputusan mahkamah tanpa melalui perbicaraan penuh di mana kes itu akan diputuskan mengikut fakta undang-undang.

Dalam penyataan tuntutan, Sultanah Nur Zahirah mendakwa sekitar Ogos 2018, Rewcastle-Brown bersama-sama defendan kedua mengeluarkan kenyataan  dalam buku berkenaan dan dicetak oleh defendan ketiga.

Defendan kedua adalah penerbit Gerakbudaya Enterprise Chong Ton Sin dan defendan ketiga adalah syarikat percetakan Vinlin Press Sdn Bhd.

Sultanah Nur Zahirah selaku plaintif berkata, fitnah itu antara lain bermaksud beliau mencampuri urusan pentadbiran kerajaan Terengganu, menggunakan peranan untuk mempengaruhi penubuhan TIA dan menolong ahli perniagaan Jho Low atau Low Taek Jho mendapatkan peranan sebagai penasihat dalam TIA.

Plaintif berkata, itu juga bermaksud beliau terbabit dalam rasuah.

Oleh itu, plaintif menuntut ganti rugi am sebanyak RM100 juta daripada setiap defendan dan menuntut defendan kedua menarik balik buku yang mengandungi kenyataan fitnah itu serta memohon defendan ketiga menghenti pencetakan lanjut salinan buku berkenaan.


Sementara itu, Bernama melaporkan peguam yang mewakili Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah memohon supaya Mahkamah Tinggi memutuskan kes saman fitnah yang dikemukakan pihaknya terhadap pengasas dan pengarang Sarawak Report, Clare Rewcastle Brown dan dua yang lain ditentukan melalui penghakiman terus (summary judgment) iaitu tanpa perbicaraan.

Perkara itu dimaklumkan peguam Datuk Haziq Pillay Abdullah yang mewakili Sultanah Nur Zahirah kepada pemberita selepas pengurusan kes itu di kamar Hakim Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim.

"Pada 13 Mei, kita telah memfailkan Perintah 14A (penghakiman terus). Mahkamah akan membuat keputusan sama ada kenyataan yang dibuat oleh pihak defendan adalah fitnah atau tidak. Kami membuat permohonan ini dengan alasan fakta yang sudah dinyatakan dalam afidavit.

"Hakim ada budi bicara untuk menentukan sama ada kenyataan defendan pertama (Rewcastle Brown) yang disiarkan defendan kedua (pencetak Vinlin Sdn Bhd) dan defendan ketiga (penerbit Gerakbudaya Enterprise Chong Ton Sin) mempunyai unsur fitnah.

"Jika permohonan ini dibenarkan, plaintif (Sultanah Nur Zahirah) tidak perlu memberikan keterangan dalam perbicaraan dan beban pembuktian terletak kepada defendan untuk memberikan pembelaan dan sama ada pembelaan itu dibenarkan atau tidak," katanya.

Tambah beliau, pihak defendan telah memfailkan jawapan terhadap permohonannya pada 24 Mei dan pihaknya akan membalas pada 12 Jun ini.

“Mahkamah kemudian menetapkan 17 Jun sebagai pengurusan kes, di mana hakim akan memberi arahan untuk kita memfailkan serahan bagi perkara in, Selepas itu akan ada tarikh bagi keputusan,” katanya.

Sultanah Nur Zahirah selaku plaintif memfailkan saman itu pada 21 Nov tahun lepas dengan menamakan Rewcastle Brown atau nama sebenar Clare Louis Brown, penerbit Gerakbudaya Enterprise, Chong Ton Sin, serta pencetak Vinlin Press Sdn Bhd sebagai defendan pertama hingga ketiga.

Dalam penyataan tuntutan, Sultanah Nur Zahirah mendakwa Rewcastle Brown mengeluarkan kenyataan dalam buku itu sekitar Ogos tahun lepas dan buku berkenaan dicetak oleh Vinlin Press.

Dakwa Sultanah Nur Zahirah, kenyataan fitnah itu membawa maksud bahawa plaintif terlibat dalam amalan rasuah dan mencampuri urusan pentadbiran negeri Terengganu serta menggunakan peranannya untuk mempengaruhi penubuhan Terengganu Investment Authority (TIA) dan menolong Jho Low, atau nama sebenar Low Taek Jho, bagi mendapatkan peranan sebagai penasihat di TIA.

Sultanah Nur Zahirah mendakwa kenyataan itu adalah fitnah kerana plaintif tidak pernah melibatkan diri dengan urusan pentadbiran kerajaan negeri dan penubuhan TIA selain mendakwa kenyataan itu memalukan serta menjatuhkan reputasi plaintif pada pandangan masyarakat.

Sultanah Nur Zahirah bertitah adalah suatu fakta diketahui umum bahawa 1Malaysia Development Berhad (1MDB) sebelum ini dikenali sebagai TIA.

Oleh itu, plaintif menuntut ganti rugi am sebanyak RM100 juta daripada setiap defendan dan menuntut defendan kedua menarik balik buku yang mengandungi kenyataan fitnah itu serta memohon defendan ketiga menghenti pencetakan lanjut salinan buku berkenaan.

Dalam penyataan pembelaan, ketiga-tiga defendan menafikan ada membuat tuduhan bahawa plaintif terbabit dengan amalan rasuah.

Rewcastle Brown juga mendakwa Sarawak Report tidak pernah mencadangkan plaintif terlibat dalam konspirasi membabitkan Jho Low dan tidak mencadangkan plaintif terlibat dalam pentadbiran kerajaan dalam urusan 1MDB.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.