5,000 tempat di IPTA bagi kursus sains berbeza tak dapat sambutan
PUTRAJAYA
– Kementerian Pendidikan (KPM) menggalakkan lepasan Sijil Pelajaran
Malaysia (SPM) yang cemerlang untuk memohon Program Persediaan Ijazah
Sarjana Muda Perguruan (PPISMP) di Institut Pendidikan Guru (IPG).
Menterinya, Dr Maszlee Malik berkata,
sebanyak 6,000 tempat ditawarkan di bawah program itu, namun kebanyakan
pelajar cemerlang lebih tertumpu kepada kursus profesional, sedangkan
negara juga memerlukan guru-guru yang cemerlang.
“Semuanya ingat nak masuk matrikulasi,
akhirnya IPG mengalami kemerosotan. Jadi kita menggalakkan pelajar
cemerlang yang berminat memohon menjadi guru” katanya pada majlis
berbuka puasa KPM bersama media, di sini hari ini.
Selain itu, Maszlee berkata, KPM juga
menggalakkan permohonan untuk menjadi guru Bahasa Mandarin dan Tamil
yang diperlukan di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina dan Tamil.
“Kita menghadapi kurangnya permohonan untuk guru mengajar Bahasa Mandarin dan Bahasa Tamil,” katanya.
Dalam pada itu, Maszlee berkata, KPM akan
memberi tumpuan kepada usaha mendidik masyarakat supaya melihat kepada
kursus yang menjanjikan peluang kerjaya pada masa depan seperti
bioteknologi, teknologi nano, analisis data dan robotik.
Mengakui KPM belum berjaya mendidik
masyarakat untuk melihat masa depan yang lebih mencabar, beliau berkata
pelajar cemerlang lebih tertumpu kepada kursus profesional seperti
perubatan, farmasi, pergigian, guaman dan akauntan.
“Ramai yang masih terikat dengan kursus
tradisional dan bila tak dapat, masing-masing marah walhal banyak kursus
yang menjanjikan peluang kerja lebih baik pada masa depan tidak ada
orang ambil,” katanya.
Beliau berkata, pada tahun lepas terdapat
5,000 tempat di universiti awam (UA) bagi kursus-kursus sains berbeza
yang tidak mendapat sambutan.
Maszlee berkata, kerajaan tidak mahu
wujud ‘ketidaksepadanan’ antara kursus yang diambil pelajar di institusi
pengajian tinggi dengan peluang kerjaya yang ditawarkan pada masa akan
datang. – Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.