Oleh Siti Hafidah Abd Ghaffar
Banyak parti Melayu tak akan gugat kesatuan jika runding, bersepakat
BANGI
– Parti Barisan Jemaah Islamiah (Berjasa) hari ini mengumumkan akan
bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dengan memberi tumpuan
di negeri pantai barat Semenanjung.
Antara negeri terbabit termasuklah Melaka, Johor, Negeri Sembilan, Selangor dan Pahang.
Presiden Berjasa, Prof Datuk Dr
Badhrulhisham Abdul Aziz berkata, parti itu akan tampil dengan semangat
mengulangi seruan kesepakatan orang Melayu dan slogan ‘Calon Muslim
Berwibawa’ yang dilancarkan pada PRU13 lalu.
“Berjasa amat berbangga dengan peranan
mempelopori seruan kesepakatan itu, pada ketika majoriti parti Melayu
masih mabuk untuk bertelagah.
“Kami yakin berdasarkan senario politik
terkini, seruan kesepakatan yang dipelopori oleh Berjasa pada PRU13 itu
akan menjadi faktor pengubah landskap politik negara dalam sedikit masa
lagi,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Pada masa sama, Dr Badhrulhisham
memaklumkan bahawa Berjasa masih komited dalam Gagasan Sejahtera bersama
PAS, Parti Ikatan Bangsa Malaysia (Ikatan) serta Parti Cinta Malaysia
(PCM).
“Bagaimanapun Berjasa terbuka untuk
menerima, menyertai dan memperjuangkan mana-mana blok kepartian yang
memberi dominasi politik kepada orang Melayu bagi memastikan kestabilan
negara ini,” katanya.
Dalam pada itu, Presiden Berjasa turut
meminta rakyat untuk bersama-sama memberi sokongan kepada parti itu
dalam usaha membawa kestabilan dan kesejahteraan Malaysia melalui
kesepakatan dan kesatuan bangsa Melayu dan Islam.
“Kita impikan sebuah negara yang aman dan
damai tanpa golongan cauvinis, pengamal budaya korupsi, golongan
liberal dan sekular yang membawa kepada penghapusan jati diri dan
identiti tersendiri rakyat dan negara, selain menggugat kedudukan Islam
sebagai agama negara,” katanya.
Ketika ditanya mengenai pengumuman hari
ini yang akan memberi tamparan pada PRU15 berikutan pengundi Melayu akan
berpecah kerana ada juga parti yang menyatakan polisi untuk menyatukan
orang Melayu, Dr Badhrulhisham menegaskan, secara hakikatnya perpecahan
berlaku bukan disebabkan kepelbagaian parti.
Sebaliknya katanya, perpecahan berlaku disebabkan agenda politik kepartian yang sempit.
“Sebab itu bagi saya Putra (Parti
Bumiputera Perkasa Malaysia), UMNO atau PAS dan parti lain yang ada
tidak mengugat kesatuan orang Melayu jika kita dapat berunding dengan
baik dan bersepakat,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.