Katanya, laporan portal berita Malaysiakini bertajuk, “Mat Hasan Dalang Mahu Singkir Zahid, Najib” pada hari ini yang memetik akhbar Straits Times tidak benar sama sekali.
Secara khususnya, laporan tersebut mendakwa bahawa niat itu dilakukan melalui cadangan pindaan Fasal 9.9 kepada Perlembagaan UMNO.
“Saya ingin menegaskan bahawa, laporan sedemikian tidak benar dan fitnah sama sekali. Ini kerana, tidak ada cadangan pindaan Fasal 9.9 seperti yang didakwa itu.
“Saya tidak pasti dari mana Malaysiakini mendapat maklumat sedemikian dan saya tuntut mereka membuat kenyataan dan penjelasan.
“Malaysiakini sepatutnya menghubungi saya terlebih dahulu untuk mendapatkan kepastian. Ini adalah perkara paling mudah untuk dilakukan,” katanya dalam kenyataan kepada media hari ini.
Malaysiakini menerusi tajuk utamanya itu melaporkan, Mohamad atau lebih dikenali sebagai Tok Mad dikatakan antara tokoh di belakang cadangan agar perlembagaan parti dipinda bagi mengetepikan pemimpin yang didakwa di mahkamah.
Laporan itu yang memetik sumber Straits Times melaporkan Mohamad sedang melobi syor berkenaan, bersama dengan sekutunya, iaitu Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, yang ditugaskan untuk meminda perlembagaan parti.
Menurut Tok Mad, malangnya berita dan laporan tersebut dikeluarkan tanpa mendapat makluman dan ulasan daripadanya.
Kata beliau, berdasarkan keadaan itu, beliau percaya laporan Malaysiakini tersebut bukan sahaja tidak benar, berunsur fitnah dan mengelirukan, tetapi sangat tidak bertanggungjawab, malah berniat jahat.
“Tidak mustahil kini Malaysiakini seolah cuba menjadi media yang tidak neutral dan dipandu oleh pihak tertentu untuk kepentingan tersendiri.
“Saya tuntut agar laporan tersebut diturunkan serta merta. Ini satu amalan yang sangat tidak beretika dan Malaysiakini tidak seharusnya menjadi dalang dalam menyemai kekeliruan dalam masyarakat,” katanya. – MalaysiaGazette
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.