Jumaat, 31 Mei 2019

Diskaun tol untuk pengguna BESRAYA, NPE dan LEKAS

tyrazalhe 

Pasukan peronda ditugas bagi pastikan keadaan lalu lintas terkawal


KUALA LUMPUR – Pengguna Lebuhraya Sungai Besi (BESRAYA), Lebuhraya Baru Pantai (NPE) dan Lebuhraya Kajang-Seremban (LEKAS) akan menerima diskaun tol sebanyak 10 dan 20 peratus sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri ini pada 5 Jun ini.

Ketua Pegawai Operasi Divisyen Tol IJM, Wan Salwani Wan Yusoff, dalam satu kenyataan, berkata pengguna ketiga-tiga lebuh raya yang dikendalikannya itu akan menikmati diskaun tol bermula dari 12 tengah malam hingga 11.59 malam pada hari tersebut.

“Pengguna jalan raya yang menggunakan Plaza Tol Mines dan Plaza Tol Loke Yew di BESRAYA bakal menerima diskaun tol 20 peratus; Plaza Tol Pantai Dalam, Plaza Tol PJS2 dan Plaza Tol PJS5 di NPE juga diskaun tol 20 peratus manakala Plaza Tol Ampangan (LEKAS) diskaun 10 peratus.

“Pemberian ini bagi menyokong hasrat kerajaan untuk meringankan beban rakyat dan sebagai inisiatif Tanggungjawab Korporat sempena Aidilfitri buat pengguna yang ingin pulang ke kampung halaman,” katanya.

Selain itu, Wan Salwani berkata, pasukan peronda akan ditugaskan bagi memastikan keadaan lalu lintas di sepanjang lebuh raya terkawal dan akan menghulurkan bantuan secepat mungkin kepada pengguna sekiranya berlaku masalah.

“Ikuti saluran media sosial kami di Twitter @BESRAYAtrafik, @NPEtrafik dan @LEKAStrafik, Instagram #besrayahighway, #npehighway dan #lekashighway. Sebarang pertanyaan hubungi hotline kami yang beroperasi 24 jam iaitu 1-800-88-0999 (BESRAYA), 1-300-88-1010 (NPE) dan 1-800-88-8021 (LEKAS),” katanya.

Lebuhraya LEKAS menyediakan akses kepada pengguna dari bahagian timur Kuala Lumpur melalui Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2), Ampang, Cheras dan Kajang untuk ke Kuala Pilah dan Seremban, manakala pengguna yang ingin ke Melaka dan Johor boleh menggunakan Lebuhraya Utara-Selatan selepas keluar dari Persimpangan Paroi, Lebuhraya LEKAS.

Pengguna yang ingin ke Pahang boleh melalui laluan keluar Persimpangan Ampangan untuk ke Jalan Jelebu.- Bernama


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.