PETALING JAYA – Kerajaan telah menangguhkan pelaksanaan subsidi minyak untuk golongan B40 yang sepatutnya bermula 1 Jun ini.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna,
Chong Chieng Jen berkata, Jemaah Menteri secara prinsipnya bersetuju
supaya subsidi diberikan kepada golongan B40 selain memansuhkan harga
siling untuk RON95.
“Keadaan ini bermakna harga RON95 akan terapung mengikut keadaan
pasaran, tetapi Kabinet belum memutuskan bila polisi ini akan mula
dilaksanakan,” katanya kepada Sinchew Daily.
Beliau berkata, rancangan kerajaan ialah membekalkan subsidi RM30
setiap bulan atau subsidi 30 sen untuk setiap liter RON95 kepada
pengguna yang layak.
“Jumlah minyak subsidi yang layak dibeli pengguna setiap bulan ialah 100 liter,” katanya.
Beliau bagaimanapun berkata, kerajaan belum memutuskan bagaimana
subsidi disalurkan iaitu sama ada melalui “kad isi minyak” atau melalui
pindahan ke dalam akaun bank pengguna.
“Kerajaan telah memperoleh maklumat orang yang menerima Bantuan
Sara Hidup (BSH) , tetapi masih memerlukan masa untuk mengemas kini
senarai golongan B40 yang layak untuk mengelak ada yang tertinggal,”
katanya.
Selain mengkaji pemberian subsidi kepada pemilik kenderaan 1,5000
CC ke bawah serta isi rumah dengan pendapatan kurang RM4,000, kerajaan
juga mempertimbangkan supaya subsidi diberi mengikut keperluan kawasan.
“Di Sabah dan Sarawak, terdapat ramai petani berpendapatan rendah
tetapi membawa Toyota Hilux atau menggunakan bot,” kata Chieng Jen.
Tambahnya, kerajaan perlu memilih masa sesuai untuk melaksanakan
sistem harga terapung kerana penghapusan harga siling RON95 dikhuatiri
akan menyebabkan gelombang kenaikan harga barang. – MalaysiaGazette
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.