Khamis, 2 Mei 2019

Kami sudah jangka, kata Umno Sabah mengenai siasatan rasuah Bung Moktar




KOTA KINABALU: Umno Sabah tidak terkejut mengenai siasatan ke atas ketua Umno negeri, Bung Moktar Radin, dan mendakwa sudah menjadi trend kerajaan untuk menggunakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap pembangkang semasa pilihan raya.

Pengarah Komunikasi dan Strategik Umno Sabah, Ghazalie Ansing berkata, mereka sudah menjangkakan satu langkah untuk menekan pemimpin parti itu menjelang pilihan raya kecil Sandakan pada 11 Mei.

“Semasa pilihan raya kecil Cameron Highlands, pertuduhan rasuah ke atas bekas perdana menteri Najib Razak tiba-tiba bertambah,” katanya kepada FMT.

“Di Semenyih, isu mereka adalah RM90 juta yang didakwa disalurkan ke akaun pemimpin PAS. Di Rantau, calon Barisan Nasional (BN) Mohamad Hasan dikaitkan dengan harta bernilai RM10 juta di London, dengan memberi gambaran bahawa beliau menerima rasuah.
“Jadi, apabila Bung Moktar tiba-tiba mendapati dirinya disiasat SPRM, ia tidak menghairankan. Malah, ia dijangkakan,” katanya.
Ghazalie Ansing.
Ghazalie berkata Pakatan Harapan (PH) tahu terdapat risiko parti itu akan kehilangan kerusi Sandakan kerana sokongan terhadap kerajaan semakin menurun sejak setahun lalu.

“Rakyat sekarang menyedari BN adalah faktor penstabilan dalam ekonomi dan perpaduan negara.

Selain itu, Umno masih mempunyai sokongan yang sihat di Sandakan, dan penyiasatan kes lama ini mungkin bertujuan untuk mensabotaj calon yang disokong Umno Sabah, iaitu Linda Tsen dari Parti Bersatu Sabah (PBS),” katanya.

Ghazalie, yang juga pemangku ketua bahagian Umno Tawau, berkata siasatan tersebut merupakan percubaan oleh kerajaan PH untuk mencalarkan imej Bung Moktar, sambil menambah ini tidak bertanggungjawab dan tidak wajar.

“Rakyat Sabah mula kembali kepada Umno Sabah dalam agenda perjuangan hak-hak anak negeri dan hak-hak negeri Sabah.

“Kini, PH sedar kehadiran Umno dalam pilihan raya kecil Sandakan telah membawa kesan positif yang besar dan juga mengancam peluang calon DAP.

“Apa gunanya menggunakan kes lama dan tidak mempunyai sebarang asas untuk dibuka semula untuk mendakwa Bung Moktar di mahkamah?” katanya.

Beliau menggesa ahli-ahli Umno Sabah, yang berjumlah kira-kira 500,000, memberi sokongan penuh dan bersolidariti dengan ketua mereka.

Bung Moktar, Ahli Parlimen Kinabatangan, dijangka hadir di mahkamah esok untuk dituduh dalam kes rasuah. Beliau dan isterinya Zizie Izzette A Samad hadir ke pejabat SPRM di Kuala Lumpur semalam di mana mereka ditahan pada jam 10.50 pagi dan 11.15 pagi.

Ghazalie berkata selepas hadir di mahkamah esok, Bung Moktar akan menyertai Umno Sabah untuk membantu kempen Tsen di Sandakan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.