Khamis, 2 Mei 2019

DAP Sabah tunjuk surat kelulusan PBT, mahu Najib mohon maaf

Phoong Jin Zhe (baju merah) menunjukkan resit yang dikeluarkan 
Majlis Perbandaran Sandakan untuk bayaran bagi 500 kerusi 
termasuk pengangkutan.
 
KOTA KINABALU: DAP Sabah hari ini menunjukkan resit daripada Majlis Perbandaran Sandakan (MPS) untuk sewaan 500 kerusi selepas pemimpin Barisan Nasional mempersoalkan penggunaan harta kerajaan dalam kegiatan kempen parti itu.

Bercakap pada sidang media hari ini, Setiausaha Publisiti DAP Sabah, Phoong Jin Zhe berkata dia tidak faham kenapa kerusi-kerusi itu, yang tertera perkataan “MPS” padanya, perlu dijadikan suatu masalah.

“Saya tunjukkan resit sebagai bukti kami sewa barang-barang itu mengikut peraturan yang ditetapkan oleh majlis perbandaran.

“Kami terpaksa melakukannya kerana bekas perdana menteri Najib Razak tak percaya kami ikut peraturan. Dia cabar DAP dan menulis di Facebook bahawa DAP gagal tunjukkan surat kelulusan dan resit.

“Sebenarnya, ini perkara kecil dan saya tak faham kenapa dia mahu jadikan ini suatu masalah,” katanya.

Phoong kemudian menunjukkan surat kelulusan dan resit untuk sewaan 500 kerusi termasuk pengangkutan berjumlah RM700, bertarikh 29 Mac.

Kerusi-kerusi itu digunakan untuk program kempen DAP pada hari yang sama.

Phoong, yang juga Adun Luyang berkata, Najib gagal membuktikan DAP sudah melakukan sebarang kesalahan dan mendesak bekas perdana menteri itu menarik balik kenyataannya dan memohon maaf.

“Tindakan itu tidak wajar. Lagipun, ini isu kecil. Tidak perlu serang kami di Facebook. Dia bekas perdana menteri dan dia patut ada integriti dan tidak buat tuduhan tanpa bukti,” katanya.

Phoong juga mendesak Presiden MCA, Wee Kah Siong menarik balik kenyataannya dan memohon maaf kerana menulis mengenai isu yang sama di Facebook.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.