KUALA LUMPUR: Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) hari ini mengkritik kenyataan Dr Mahathir Mohamad bahawa gaji rendah adalah lebih baik daripada tiada gaji, dengan mengatakan ia memberi isyarat salah kepada majikan.
Setiausaha Agung MTUC, J Solomon berkata kenyataan itu boleh dilihatmemberi makna buruh paksa atau perbuatan peras tenaga diterima di Malaysia, dan majikan boleh menggunakannya sebagai hujah untuk terus memberikan gaji rendah.
Beliau mengalu-alukan ikrar kerajaan untuk menambah baik undang-undang buruh dan proses tenaga kerja bagi menyelesaikan isu antara majikan dan pekerja, tetapi perdana menteri harus menjelaskan kenyataannya.
“Perdebatan mengenai gaji rendah berbanding tiada gaji tidak patut timbul kerana majikan mungkin fikir mereka berhak memberikan gaji rendah.
“Mengetengahkan hujah untuk gaji rendah adalah tidak betul dari segi politik kerana kajian oleh Bank Negara Malaysia dan banyak pihak lain sudah menetapkan pekerja berdepan masalah kewangan kerana gaji rendah,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau juga memetik kajian Institut Penyelidikan Khazanah (KRI) yang diterbitkan pada 15 Oktober tahun lepas yang menyatakan jurang pendapatan secara mutlak antara golongan 20% teratas dan penduduk lain hampir berganda walaupun terdapat pengurangan dalam ketidaksamaan pendapatan rasmi.
“Ini menjadikan lebih ramai rakyat berada dalam kemiskinan relatif,” katanya.
Mahathir dalam pesannannya sempena Hari Buruh berkata rakyat perlu mengambil kerja-kerja 3D (kotor, berbahaya dan sukar) daripada menganggur kerana tiada pendapatan tanpa pekerjaan.
Solomon bagaimanapun berkata, mengetengahkan perdebatan mengenai gaji rendah berbanding tiada gaji hanya akan memburukkan lagi ketidaksamaan dan merencatkan permintaan untuk barangan dan perkhidmatan yang perlu untuk mengekalkan output dan pertumbuhan pekerjaan.
Jika pendapatan sebenar pekerja menurun, katanya, kemampuan untuk berbelanja semakin kurang. Apabila orang kurang berbelanja, permintaan untuk barangan dan perkhidmatan juga menurun bersama-sama dengan permintaan untuk pekerjaan, katanya.
“Apabila majikan tidak bayar gaji yang munasabah kepada pekerja, ia meletakkan beban yang besar pada kerajaan kerana ia perlu mencari cara untuk membayar golongan miskin, terutama B40 pada kemudian hari,” katanya.
Beliau berkata situasi itu mencerminkan kegagalan dasar pendidikan kerajaan, dan menambah ramai siswazah meninggalkan universiti dengan kelayakan yang tidak memenuhi permintaan sebuah ekonomi sedang membangun.
Beliau berkata struktur kelas kerja tidak memberi penghargaan secukupnya kepada pekerja di sektor 3D walaupun mereka memberi sumbangan yang bernilai kepada pembangunan.
“Penggubal dasar perlu ada strategi untuk menangani sebab-sebab gaji rendah, serta ciri-ciri kerja bergaji rendah yang membawa kepada pekerjaan yang tidak terjamin,” katanya.
“Peningkatan pekerjaan yang tidak terjamin memburukkan lagi kesan gaji rendah terhadap standard kehidupan individu dan keluarga.
“Mereka mempunyai kemampuan terhad untuk membina aset ekonomi seperti perumahan, dan caruman EPF yang rendah dan prospek persaraan yang rendah akan membebabkan kerajaan pada kemudian hari.”
Beliau menggesa kerajaan mencari jalan menambah baik kehidupan rakyat dengan membayar gaji lebih tinggi untuk kerja-kerja 3D dan merangka pelan baru bagi menangani kos sara hidup.
“Apabila semua gaji yang bayar gaji munasabah, pekerja akan lebih sedia mengambil apa sahaja kerja. Sudah sampai masanya kerajaan bantu pekerja yang terperangkap dalam sektor ini dengan menjadikan persekitaran kerja mereka lebih baik dan menyediakan langkah keselamatan secukupnya, dan bukan memberitahu mereka supaya bersyukur atas kerja-kerja 3D itu,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.