Minggu ini sesuatu yang amat bersejarah berlaku di Jepun.
Maharaja Akihito sudah turun takhta pemerintahan sebagai Maharaja Jepun, setelah tiga dekad menjadi lambang kepada budaya kejepunan.
Sewaktu saya di Jepun tahun lalu, saya ada bertanya; tidakkah ada kritikan terhadap baginda?
Ini mengingatkan betapa ayahandanya bertanggungjawab membawa negara matahari terbit itu ke dalam kancah peperangan yang penuh nestapa.
Bahkan, salah seorang teman saya mengingatkan bagaimana dalam ucapan baginda pada tahun 2015 iaitu sempena ulang tahun ke-70 kekalahan Jepun dalam Perang Dunia Kedua, Maharaja tersebut meluahkan rasa kesal atas peperangan ini.
Malah, Akihito dengan penuh rasa rendah diri menawarkan jiwa raga untuk kejahatan dan penderitaan yang terjadi ketika perang dunia di Okinawa seawal tahun 1975.
Memang di Jepun, sosok maharaja pernah disembah dan disanjung sebagai Tuhan.
Hari ini, sistem monarki yang cukup tua di Jepun itu telah mengalami kematangan tersendiri.
Maharaja dan istana menjadi relevan kerana kebolehdayaan mereka menjadi lambang budaya bangsa.
Raja disembah
Di alam Melayu, tidak terkecuali, raja sering disembah, khusus kerana mereka dianggap sebagai bayang-bayang Tuhan di muka bumi. Kenyataan ini adalah agar taat dan setia kepada raja kekal berakar.
Kelekatan status dengan Tuhan ini begitu menarik disorot memandangkan status pilihan Tuhan ini dapat menjamin pula kelangsungan takhta: “Raja itu umpama ganti Allah dalam dunia, kerana ia zillu’llah fil’alam. Apabila berbuat kebaktian kepada raja, serasa kebaktian akan nabi Allah; apabila berbuat kebaikan kepada nabi Allah, serasa berbuat kebaktian kepada Allah taala. Firman Allah taala:
ati’ul-laha wa’ati ‘ur Rasula wa ulil amri minhum, yakni berbuat kebaktianlah kamu akan Allah, dan akan rasul-Nya, dan akan raja, inilah wasiatku kepada kamu semua. Hendaklah jangan kamu sekalian lupa, supaya kebesaran dunia akhirat kamu semua peroleh.”
Kenyataan di atas tentu merupakan satu kepalsuan yang disuguhkan di dalam Sulalatus Salatin.
Malah di dalam kepercayaan Islam, tidak ditemukan sistem beraja melainkan yang diperkenalkan oleh Muawiyah dan keturunannya kemudian.
Kepalsuan yang disebutkan di dalam Sejarah Melayu ini membantu kita memetakan banyak rentetan peristiwa yang mana orang akur kepada kezaliman pihak penguasa.
Ini kerana raja-raja, meskipun bukan Tuhan, tetap disandarkan kepada Tuhan, iaitu sebagai ganti Tuhan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.