Hashim Jasin
ALOR SETAR - Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin mendedahkan pada peringkat
awal mereka bimbang jika kerjasama antara UMNO dan Pas tidak diterima
akar umbi sekali gus dikhuatiri mengundang perpecahan.
Bagaimanapun katanya, kerjasama atau taawun
antara Pas dan UMNO itu menunjukkan perkembangan positif apabila
diterima baik oleh sayap parti itu termasuk di peringkat akar umbi.
Kata
beliau, pendekatan yang digunakan Pas iaitu menolak terlebih dahulu
keburukan dengan mencari kebaikkan hasil kerjasama itu akhirnya diterima
dan difahami semua peringkat parti itu.
“Di
peringkat awal, hati saya bimbang, takut usaha penyatuan ini boleh
membawa pecah belah terhadap Pas. Kami termasuk Presiden Pas berbincang
dan meninjau keadaan sama ada kerjasama itu diterima atau sebaliknya.
“Perkara
itu, kemudian dibawa ke muktamar. Saya menyelinap masuk untuk mendengar
perbahasan sayap pemuda, wanita, Dewan Ulama. Alhamdulilah semua
peringkat positif untuk melihat kerjasama tersebut,” katanya ketika
berucap pada majlis Penyatuan Ummah di Kompleks Pas Kedah di sini, malam
tadi.
Yang turut hadir, bekas Perdana
Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak; Pesuruhjaya Pas negeri, Dr. Ahmad
Fakhruddin Sheikh Fakhrurazi; Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir
Khalid; Pengerusi Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom
dan pemimpin-pemimpin setempat kedua-dua parti itu.
Tambah Hashim, selain UMNO, Pas juga pernah mengadakan perbincangan dengan PKR dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
Katanya,
setelah berbincang dan diteliti, daripada ketiga-tiga parti itu,
kerjasama dengan UMNO adalah lebih memberi faedah dan manfaat kepada
umat Islam.
“Hari ini, kerjasama ini semakin kukuh dan diterima baik oleh pemimpin serta ahli kedua-dua parti ini,” katanya.- UTUSAN ONLINE
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.