Bersih 2.0 berkata, pemerhati pilihan raya sepatutnya adalah individu ataupun organisasi yang tidak berpihak kepada mana-mana parti politik, apatah lagi daripada parti atau gabungan yang sedang bertanding.
“Adakah ahli politik dapat menjadi pemerhati yang neutral?,” kata Jawatankuasa Pemandu Bersih 2.0 dalam satu kenyataan hari ini.
Bersih 2.0 berkata demikian selepas bekas presiden Parti Harapan Rakyat Sabah yang kini menyertai PPBM Sabah, Lajim Ukin yang dilihat memakai baju rasmi pemerhati SPR.
PPBM merupakan salah satu parti komponen dalam Pakatan Harapan (PH), di mana salah satu parti komponen lainnya iaitu DAP bertanding dalam PRK Parlimen Sandakan.
Menurut Bersih 2.0, tindakan melantik pemerhati pilihan raya perlu selari dengan piawaian ditetapkan Deklarasi Prinsip Global untuk Pemerhati dan Pemantauan Pilihan Raya Non-Partisan oleh Organisasi Sivil (Suruhanjaya Venice).
“Kepentingan untuk pemerhati non-partisan bagi pilihan raya adalah pemerhati perlu menilai keseluruhan integriti proses pilihan raya dan laporan mereka dapat menambah atau merosakkan kesahan keputusan pilihan raya,” katanya.
Jawatankuasa itu berkata, SPR perlu memberi penjelasan atas kapasiti apakah ahli politik dilantik sebagai pemerhati atau wujud kegagalan dari aspek SOP untuk suruhanjaya berkenaan menapis permohonan menjadi pemerhati.
“Adakah SPR mempunyai polisi yang menentukan sama ada ahli politik aktif boleh menjadi pemerhati untuk SPR dan sekiranya ada, adakah SOP jelas untuk membatalkan permohonan menjadi pemerhati?” katanya.
Bagaimanapun, Bersih 2.0 memuji keterbukaan SPR sejak PRU14 dalam melantik banyak kumpulan tempatan dan NGO, termasuk Bersih 2.0 sebagai sebahagian daripada program pemerhati.
“Namun mereka janganlah pula merosakkan integriti program ini dan merendahkan sikap neutral SPR dengan melantik ahli politik yang aktif sebagai pemerhati pilihan raya,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.