Tetapi ia juga seperti secebis bendera sebuah parti politik yang terkoyak. Perasaan ingin tahu saya memuncak.
Untuk memastikan apa sebenarnya gambaran itu, saya membesarkan imej tersebut di skrin komputer.
Rupa-rupanya ia sesuatu yang tidak disangka - hasil kreativiti minda yang lahir melalui lakaran.
Apa yang saya lihat itu merupakan lukisan kartun memaparkan hutan yang sedang digondoli pembangunan rakus. Imej bendera parti yang menjelma itu pula melambangkan kuasa pemerintah sebuah negeri yang mengalami krisis penebangan pokok, pemusnahan hutan dan pembalakan tak terkawal.
Ia tajam tetapi pada masa sama memberi sebab untuk kita menginsafi kemusnahan alam sekitar. Ia pedih buat penguasa yang merosakkan persekitaran walaupun mulut mereka berkumat-kamit menghamburkan hal-hal dosa dan pahala, syurga dan neraka.
Lakaran itu - bagi saya - merupakan kartun panel tunggal yang amat berkesan dari segi makna dan perlambangan politik semasa, dan ia tidak terlampau ketara atau terlalu bersorok. Ia menangkap rasa hati dengan pantas dan mudah.
Mengapa politik?
Ia adalah karya Amin Landak. Dia seorang anak muda yang baru saya kenali selepas menyedari hasil karyanya bersifat kritikal tetapi pada masa yang sama menyayangi alam sekitarnya - sama ada hutan, bukit, negeri, pentadbiran, kerajaan, ekonomi dan cara hidup. Karyanya memang bersifat politik.
“Mengapa politik?” tanya saya kepada anak kelahiran Kelantan itu apabila kami semeja membasahkan tekak dengan teh tarik cair yang tiada apa-apa rasa istimewa di sebuah gerai di tepi jalan di pinggir ibu kota Kuala Lumpur.
Dia menjawab serius: “Ia memang sesuatu yang ada dalam jiwa aku. Mula-mula aku buat kartun kritik sosial biasa-biasa, kemudian ia secara semulajadi berkembang memasuki ruang politik. Tapi aku buat secara bersahaja, aku cuba elakkan banyak perkataan dalam karya. Biar pembaca buat tafsiran sendiri.”
Mungkin ia kata-kata biasa. Mungkin ia juga satu kelainan. Mungkin karyanya tidak mampu mengubah dunia. Namun, dalam dua jilid hasil kreativiti sejak lima tahun lalu, saya melihatnya sebagai seorang artis yang kreatif dan prolifik.
Bukan itu sahaja, dalam usia yang baru mencecah 30 tahun, Amin tidak seperti kebanyakan anak muda lain. Dia tidak merasakan dirinya alternatif atau hipster walaupun suka memakai topi atau cap di dalam pejabatnya.
Dia juga gemar mendengar lagu-lagu rock progresif 1970-an seperti Pink Floyd (gambar) dan Fleetwood Mac.
Dalam perbualan dengannya, saya dapat rasakan dia tidak menganggap dirinya berhak ke atas sesuatu tanpa berusaha mendapatkannya. Justeru Amin sedar dia tidak perlukan apa-apa entitlement.
Dia yang dibesarkan oleh ibunya dalam suasana kampung apabila kehilangan ayah di usia kecil telah menyedari hakikat hidup sejak zaman remaja. Dia juga merupakan anak tahfiz al-Quran.
Amin tidak takut untuk mengambil pendirian berpihak, tetapi bukan kepada parti atau ideologi, bukan kepada pemimpin agama atau kaum. Dia berpihak kepada apa yang diyakini sebagai benar; dia sayang kepada alam sekitar, dia sensitif dan benci kepada budaya rasuah, dan dia tidak selesa dengan perkauman dan keagamaan yang sempit.
Rasanya dia juga bukan orang yang mudah kecewa atau yang menyokong kempen undi rosak.
“Hidup ini bukan semudah memilih hitam atau putih. Kita perlu membuat keputusan dalam hidup walaupun ia sesuatu yang pahit,” ujarnya sambil menghirup limau O kosong ais.
Dia kini mungkin perlu lebih berhati-hati menjaga makan minumnya demi kesihatan.
Makna dalam karya
Dia tidak menjerit-jerit memburukkan sasaran kartunnya. Kalau ada sesiapa yang disasarnya, itu dilakukan secara bersahaja.
Memanglah bukan semuanya berhasil. Ada yang sukar ditangkap maksudnya, ada yang terang lagi bersuluh; namun kebanyakannya menarik perhatian, dan sentiasa ada makna tersurat dan tersirat.
Dalam kedua-dua jilid buku Yak Bok Te dihasilkannya, Amin turut membawakan lakaran bertemakan moral peribadi yang bagi saya agak konservatif.
Tetapi itu sebenarnya lebih realistik berbanding percubaan sesetengah orang untuk menonjolkan seni untuk seni yang akhirnya sekadar menempelkan “lihatlah dunia, inilah aku!”.
Hasil mereka agak hampas. Atau setidak-tidaknya itulah yang saya rasa.
Yak Bok Te seperti yang dijelaskan oleh Amin adalah “perkataan yang dipinjam daripada bahasa Kelantan yang tidak mempunyai maksud tetapi sering digunakan ketika melatah dan terkejut”.
Memang kita melatah apabila terkejut, marah dan teramat kecewa. Itulah yang dia mahu sampaikan dalam kartunnya.
Politiknya memang ada yang terpampang jelas, ada yang kabur dan ada yang subtle. Dia seperti sengaja tidak mahu menyakitkan hati orang yang menjadi sasarannya, sebaliknya mahu mengajak pembaca dan peminat mengukir senyum - dan mungkin terbit sedikit keinsafan apabila meneliti karyanya.
Politiknya juga bukan kepartian yang ditelanjangkan di hadapan kita. Tanpa banyak kata-kata atau perkataan. Ia merangkumi hal-hal semasa - termasuk ekonomi - seperti kenaikan harga barang, kesan cukai regresif GST, tekanan bayaran tol dan minyak.
Sesekali dia menggunakan dwimakna dalam lakaran kartunnya seperti gambaran botol-botol jem apabila membawakan isu kesesakan lalu-lintas Lembah Klang.
Ada kala sindiran Amin memang tajam dan terang, seperti kartun seorang lelaki memakai suit bertanya tentang hukum agama untuk melaksanakan cukai GST, yang kemudian dijawab dengan gementar oleh sorang lelaki berjubah dan berserban.
Saya akui tidak mudah untuk kartunis hari ini membawa sesuatu idea yang segar dan baru. Lagi pula suasana politik semasa tidak banyak memberi ruang kebebasan – sama ada atas alasan moral, agama atau kaum - dan majoriti masyarakat seolah-olah bersetuju dengan pemerintah.
Mungkin kerana takut atau “tak mau cari pasal”.
Kes pengekangan kebebasan bersuara dan berekspresi berlaku di hadapan kita. Kartunis Zunar telah dan sedang dikenakan pelbagai tuduhan dan disekat kebebasannya untuk bergerak.
Artis grafik Fahmi Reza dikenakan hukuman berat semata-mata kerana menghasilkan wajah badut yang menyakitkan hati pemimpin politik.
Kartun kini menjadi senjata bahaya terhadap pemerintah.
Kesinambungan seni dan perjuangan
Zaman kanak-kanak saya dipenuhi komik berbahasa Melayu seperti Bambino, Bujal dan Murni pada awal 1970-an. Selain itu, ada juga kartun-kartun panel tunggal yang disiarkan di majalah Dewan Pelajar dan Utusan Pelajar.
Begitu juga komik-komik isu tunggal atau bersiri dengan tema-tema pahlawan, fiksyen sains dan seram yang dijual dengan harga di antara 50 sen dan RM1.
Antara artis dan kartunis yang saya ingat-ingat lupa pada masa itu ialah Rizalman, Rejabhad, Mishar dan Rosdin. Kemudiannya dengan kelahiran Gila-Gila pada akhir dekad tersebut, muncul kartunis dan pelukis seperti Jaafar Taib dan Zainal Buang Hussein.
Generasi yang muda sedikit daripada mereka termasuk Ujang, Reggie Lee, Rasyid Asmawi, Cabai dan Zunar.
Apresiasi saya terhadap kartunis Lat pula lambat sedikit kerana karya awalnya berbahasa Inggeris.
Hanya pada era sekolah menengah awal 1980-an saya mula menghayati seni yang dihasilkannya.
Kartunis-kartunis lama sebelum itu seperti Rossem, Azman Yusof dan Nik Nordin pula merupakan bakat-bakat dari Kelantan.
Bagi saya, Amin merupakan kesinambungan generasi seni kartun dan komik dari negeri Cik Siti Wan Kembang ini.
Memang Kelantan membanggakan kita dengan pelbagai genre seni walaupun ada halangan-halangan politik setempat. Rakyat Malaysia menumpang bangga dengan kegemilangan primadona mak yong Khatijah Awang, dalang wayang kulit Pok Dolah Baju Merah, wira cereka masa kini Pok Ya Cong Codei, dan ramai lagi tokoh serta watak seni dari negeri yang mengajak kita bercanda di Pantai Cinta Berahinya.
Tentunya Amin yang masih muda itu berpeluang menambah ilmu bagi memperkukuhkan seni kartunnya. Karyanya tidak selembut Lat yang mengembara dalam batas undang-undang yang mengekang.
Karya Amin juga tidak sekasar Zunar yang menuju pada satu atau dua sasaran saja tanpa henti, malah berani melanggar batas kuasa.
Amin boleh dikatakan berada di jalan tengah. Tidak semestinya itu adalah jalan yang selamat atau yang bahaya. Sesekali apabila kartunnya menyengat, dia akan menambah atau kehilangan seorang dua kawan Facebook.
Memang sukar untuk memuaskan hati semua orang. Semoga dia tidak mudah ditundukkan, sama ada oleh kuasa keras yang membungkam atau kuasa lembut yang memujuk.
Apabila saya sengaja mengulangi pertanyaan: mengapa politik? - Amin yang mulanya ketawa kembali serius untuk menyatakan: “Dr Mahathir Mohamad bukan favourite aku. Anwar Ibrahim pun sama. Aku pilih perubahan. Sebab aku dah penat dengan Umno dan BN. PAS pula...hmm. Kita perlukan pembaharuan.”
Selamat meneruskan perjuangan, wahai sang kartunis muda.
*WAN HAMIDI HAMID seorang penulis, pemerhati politik dan penggemar muzik.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.