Rabu, 25 Julai 2018

Yang bertanya lebih tahu, kata MB dan YB pun ketawa

 
   
DUN KELANTAN | Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) selalunya berlangsung dengan serius, kadang-kadang tegang atau dan sesekali dingin atas pelbagai sebab.

Dan hari ini pada sidang DUN Kelantan berubah menjadi agak santai. Semuanya gara-gara Menteri Besar Datuk Ahmad Yakob mencuit hati barisan anggota DUN (ADUN) dengan jawapan spontan menjawab soalan tambahan oleh Datuk Md Alwi Che Ahmad (BN-Kok Lanas).

Ketua pembangkang itu bertanya pandangan Ahmad mengenai sikap Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

"Perdana menteri ketujuh ditakdirkan untuk membaiki kesilapan yang dibuat oleh perdana menteri keempat.

"Dia (PM keempat) tak beri royalti, hidupkan semula Umno, dan begitu juga RUU355 (rang undang-undang 355).

"Pada pandangan menteri besar, antara perdana menteri keempat dan ketujuh, mana satu salah, mana satu betul? Mana satu boleh dipakai, yang mana tak boleh pakai?" soalnya Md Alwi.

Ahmad yang juga ADUN Pasir Pekan lantas bangun sekali gus memberi jawapan spontan.

"Yang bertanya lebih tahu daripada saya, " jawabnya sekali gus mencetuskan ketawa dan ketukan meja barisan ADUN.

Untuk rekod perdana menteri keempat dan ketujuh Malaysia ialah orang yang sama iaitu Dr Mahathir.

Bagaimanapun pada kali pertama beliau menjadi perdana menteri iaitu Jul 1981 Dr Mahathir ialah pemimpin Umno iaitu parti yang sama dianggotai Che Alwi.

Terdahulu, Ahmad menjawab soalan bertulis Mohd Adhan Kechik (BN-Bukit Bunga) mengenai hubungan antara kerajaan negeri dan kerajaan persekutuan ketika ini.

Menurut Ahmad, belum dapat dipastikan secara jelas mengenai hubungan tersebut bagaimanapun amalan lazimnya perlu tertakluk kepada perlembagaan.

"Amalan yang lazim kita buat selepas pilihan raya umum ke-13, kita buat kunjung hormat kepada perdana menteri bagi menyatakan hubungan antara G2G (kerajaan dengan kerajaan), adalah perlu dihormati dan untuk meyakinkan Kelantan serta pusat mempunyai hubungan erat di bawah sistem federalisme.

"Selepas PRU14 kami melakukan perkara sama semoga hak Kelantan dapat dibela terutama perkara yang sudah diputuskan bagj memberi kebajikan kepada rakyat. Insya-Allah hubungan semakin baik" jelasnya.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.