Rabu, 25 Julai 2018

Najib: Kempen BN sederhana, tak perlu wang banyak

   
Datuk Seri Najib Razak berkata pembekuan akaun Umno tidak akan menjejaskan kempen parti itu pada pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis.

Bekas perdana menteri yang juga bekas presiden Umno berkata, parti itu tidak memerlukan wang yang banyak pada PRK kali ini.

“Kempen ini guna wang paling minimum.

“Kita buat dengan sederhana tetapi lebih mesra rakyat dan menyentuh hati rakyat daripada buat perjumpaan besar-besaran dengan belanja dan sebagainya.

“Pendekatan kita lebih mesra kepada rakyat,” katanya ketika ditemui di hadapan Sekolah Rendah Agama Sungai Kandis.

Sementara itu, ditanya kenapa parti komponen BN tidak kelihatan pada PRK itu, beliau berkata mereka perlu diberi masa selepas kekalahan dalam pilihan raya umum lalu.

Bagaimanapun, katanya, pemimpin MIC ada turun padang.

“Kita faham mereka telah melalui satu keadaan yang MCA Johor hanya menang satu kerusi (parlimen) manakala MIC pula dua kerusi parlimen.

“Dalam keadaan sedemikian, mereka terpaksa lihat proses muhasabah diri apa kelemahan dan kepimpinan mereka.

“Ini sedang berlaku misalnya kepimpinan MIC sudah beralih kepada presiden baharu tetapi timbalan dan naibnya belum lagi selesai proses pemilihan parti,” katanya.

PRK DUN Sungai Kandis bakal menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara calon BN Lokman Noor Adam, calon PKR Zawawi Mughni dan calon bebas K Murthy.

Ia diadakan susulan penyandangnya, Mat Shuhaimi Shafiei, orang lama reformasi serta bekas setiausaha politik menteri besar Selangor, meninggal dunia akibat kanser limfoma pada 2 Julai lalu.

Pada PRU-14 lalu, Shuhaimi daripada PKR memenangi kerusi itu dengan 23,998 undi selepas menewaskan calon BN Datuk Kamaruzzaman Johari (11,518); calon PAS Mohd Yusof Abdullah (7,573) dan calon Parti Rakyat Malaysia (PRM), Hanafiah Husin (76).

LIHAT VIDEO DI SINI




Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.