Sabtu, 24 Februari 2018

Pemimpin mana yang akan balik ke Pekan?

DETIK DAILY


Oleh ASLANI M

 KOTA BHARU: Siapa yang akan menguasai kerajaan di Putrajaya selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) sudah ada dalam ilmu Allah Taala, kata Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

Begitu juga pemimpin mana yang akan balik ke Pekan selepas ini juga sudah tercatat di Luh Mahfuz.
Sebaliknya beliau menegaskan, kemenangan itu hanya akan diberi kepada mereka yang bekerja kuat.

“Allah Taala hendak tengok siapa yang bekerja kuat sekarang bagi memastikan kemenangan tersebut,” katanya pada kuliah pagi Jumaat di Medan Ilmu, di sini hari ini.

Timbalan Pengerusi Majlis Profesor Negara (MPN), Prof Datuk Dr Shamsul Amri Baharuddin sebelum ini dilapor berkata, perebutan undi Melayu pada PRU14 dijangka sengit.

Menurutnya, kemenangan akan diperolehi oleh parti yang mempunyai gerak kerja terkuat di akar umbi, di mana hanya Umno dan PAS mempunyai kekukuhan dalam perkara tersebut.
"Sehebat mana pun seseorang pemimpin itu tetapi tanpa akar umbi yang sukar untuk mereka mendapatkan sokongan," katanya pada sesi perbincangan Meja Bulat Pra-PRU14: "BN Kekal Atau...??" di Kuala Lumpur.

Manakala dalam perkembangan berkaitan Ustaz Tuan Ibrahim berkata, beliau sedia bertanding di mana-mana tempat yang diputuskan parti.

"Saya turun ke banyak negeri termasuk Johor dan Selangor ketika Presiden kurang sihat," katanya selepas ceramah Isu Semasa di Kampung Pauh Butut Dun Pasir Tumbuh malam tadi.

Hadir sama Yang Dipertua PAS Kawasan Kubang Kerian, Ustaz Abdul Rahman Yunus; Timbalannya, Mumtaz Md Nawi; Ketua Pemuda PAS Kelantan, Ahmad Fadhli Shaari dan Ketua Penerangan PAS Kubang Kerian, Ustaz Ahmad Baihaki Atiqullah.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.