Oleh Ainor Rahim
BANGI: Majlis Syura Ulama (MSU) PAS memutuskan untuk mengekalkan
sumpah bai'ah ke atas calon yang akan bertanding mewakili parti itu pada
Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan datang.
Setiausaha MSU, Datuk Dr Nik Zawawi Nik Salleh berkata, sumpah bai'ah
itu juga tertakluk ke atas calon bukan Islam yang bertanding atas tiket
parti itu menerusi blok ketiganya, Gagasan Sejahtera (GAGASAN).
“MSU yang bersidang hari ini, kita menetapkan bai'ah tetap akan
berlaku di dalam PAS. Yakni mana-mana calon yang bertanding menggunakan
lambang PAS, mereka mesti melafazkan bai'ah. Sebagai janji mereka untuk
mentaati segala syarat dan peraturan yang ditetapkan oleh parti.
“Begitu juga dengan calon-calon dalam kalangan masyarakat bukan
Muslim. Mereka akan mengadakan ikrar, yakni janji mereka untuk dipatuhi
segala syarak dan peraturan yang ditetapkan oleh parti,” katanya kepada
pemberita selepas mesyuarat MSU di Bangi hari ini.
Perkembangan terbaru ini memperlihatkan, PAS mahu memastikan calon
yang bertanding mewakili parti itu kekal wala' kepada kepimpinan dan
juga parti itu sekiranya memenangi PRU14 nanti.
Isu lafaz bai'ah PAS yang digunakan untuk mengikat wakil rakyat atau
pemimpin pernah menjadi perdebatan secara terbuka selepas beberapa
pimpinan kanan bertindak keluar parti.
Ditanya mengenai keputusan berhubung sumpah bai'ah talak tiga, Nik
Zawawi berkata, sumpah berkenaan akan mengikut keperluan dan situasi
politik negeri-negeri tertentu.
“Kita telah selaraskan bai'ah bahawa ini satu lafaz sahaja yang akan
dilafazkan. Kecuali sekiranya ada keperluan-keperluan yang difikirkan
perlu bagi negeri-negeri tertentu. Maka MSU membenarkan kepada mereka
untuk membuat sebarang penambahan. Penambahan yang akan dibuat ini mesti
mendapat keizinan daripada MSU.
“Itu terpulang kepada negeri, dan mereka mesti mengemukakan cadangan
kepada MSU. Kemudian MSU akan lihat suasana yang akan berlaku. Waima
perlu atau tidak perlu,” jelasnya.
Sebelum ini, MSU PAS ada menyuarakan mahu mempertimbang untuk
memansuhkan bai'ah talak tiga bagi calon pada PRU14 akan datang.
Antara pimpinan dilihat hadir menghadiri mesyuarat itu, Pengerusinya
Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Timbalan Presiden Datuk Tuan Ibrahim Tuan
Man, Ketua Dewan Ulama PAS Datuk Dr Mahfodz Mohamed.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.