Sabtu, 24 Februari 2018

Agihan kerusi PAS dah selesai

Oleh Ainor Rahim
Post Pic
 
 
BANGI: PAS mengumumkan parti itu sudah selesai dalam proses agihan kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) di seluruh negara, demikian menurut Setiausaha Majlis Syura Ulama (MSU) PAS, Datuk Dr Nik Zawawi Nik Salleh. 
 
Malah katanya, parti itu juga sudah memuktamadkan senarai calon sekurang-kurangnya tiga nama yang akan bertanding di peringkat Parlimen pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan datang. 
 
 “PAS sudah siap. InsyaAllah kita berjaya menetapkan kerusi yang akan kita bertanding di dalam Parlimen dan juga DUN bagi kerusi masing-masing di seluruh negara. 
 
“Kita sudah siap calon kita, setiap Parlimen kita ada tiga calon sekurang-kurangnya dan semua senarai calon akan sampai kepada MSU,” katanya kepada pemberita selepas mesyuarat MSU yang berlangsung di Bangi hari ini. 
 
Katanya, parti berteras Islam itu juga bakal menurunkan calon bukan Islam mewakili parti untuk diletakkan bertanding di kawasan majoriti bukan Islam. 
 
“Itu orang lain, bukan kita (PAS). Kita bertanding atas tiket PAS. Kita akan bertanding di kerusi-kerusi yang majoriti Islam, majoriti Melayu. Ada calon-calon yang dihantar oleh PAS, di dalam Gagagan Sejahtera yang akan bertanding di kawasan majoriti non Muslim.
 
“Ya, dalam PAS ada calon non Muslim, ada calon wanita. Calon wanita dalam PAS lebih ramai dari calon dalam Umno,” ujarnya. 
 
Katanya, senarai akhir nama-nama calon akan diumumkan menjelang pengumuman tarikh PRU14. 
 
Semalam, Timbalan Presidennya Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man mengesahkan MSU telah meluluskan 90% senarai calon yang dihantar PAS negeri untuk bertanding pada PRU14. 
 
Sebelum ini, Presidennya Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengumumkan partinya mahu memenangi 40 buah kerusi dan mempertahankan Kelantan, memerintah semula Terengganu dan Kedah, memimpin Selangor.
 
PAS berkata demikian, kerana mahu mempertahankan Islam dan memastikan Islam memerintah, walaupun sukar untuk mendapat majoriti 112 kerusi dan memerintah sendiri.
 
Pada PRU lalu PAS hanya menang 21 kerusi daripada 76 kerusi yang ditandingi, DAP bertanding 51 kerusi danmenang sebanyak 38 kerusi dan PKR pula menang 30 kerusi daripada 99 kerusi.
 
 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.