PORT DICKSON: Polis sudah menahan suspek utama kes bunuh juruteknologi
pergigian di Kuarters Klinik Kesihatan Lukut yang dibunuh minggu lalu.
Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Zainudin Ahmad, berkata
suspek lelaki berusia 20-an itu ditahan di rumahnya di sebuah taman
perumahan di Johor Bahru, jam 9 malam tadi.
"Polis percaya penangkapan suspek akan dapat menyelesaikan siasatan kes
ini. Kita turut menemui semula motosikal dan topi keledar milik mangsa
yang hilang sebelum ini.
"Selain itu, siasatan mendapati suspek turut menggunakan kad kredit milik mangsa," katanya di sini, hari ini.
Zainudin berkata, pihaknya akan memohon perintah tahanan reman hari
ini, bagi membolehkan polis melengkapkan siasatan mengikut Seksyen 302
Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Mangsa, Mahusin Abd Rahim, 28, ditemui mati di rumahnya dalam keadaan
terbaring di atas tilam oleh seorang rakan yang datang ke rumahnya yang
terletak di tingkat empat pada jam 8.30 pagi, 22 Januari lalu.
Mangsa yang dipercayai sudah meninggal dunia lebih 72 jam, turut
ditemui dengan dengan kesan kecederaan di kepala akibat hentakan objek
keras.
Polis semalam mengedarkan gambar seorang lelaki yang dirakam melalui
kamera litar tertutup (CCTV) sebuah premis di Johor Bahru yang
dipercayai mempunyai kaitan langsung dengan kes itu, bagi memohon
bantuan orang ramai mengesannya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.