SHAH ALAM: Mahkamah Tinggi pada Selasa diberitahu bahawa Siti Aisyah,
wanita Indonesia yang dituduh membunuh Kim Chol atau Kim Jong-nam, abang
pemimpin Korea Utara, telah dibayar RM400 oleh seorang lelaki yang
dikenali sebagai James atau Ri Ji-u untuk melakonkan tiga babak 'usikan’
di sebuah pusat beli-belah di Bukit Bintang, Kuala Lumpur.
Babak 'usikan' itu, yang dilakukan terhadap tiga individu, dirakamkan
di kawasan kolam air pancut di pintu masuk pusat beli-belah itu pada 5
Januari tahun lepas, dengan James memberitahu Siti Aisyah bahawa rakaman
tu akan ditayangkan di YouTube.
Perkara itu dicadangkan peguam Gooi Soon Seng yang mewakili Siti
Aisyah, 26, semasa menyoal balas Pegawai Penyiasat Asisten
Superintendan Wan Azirul Nizam Che Wan Aziz, 40, pada hari ke-28
perbicaraan kes pembunuhan Kim Chol.
Siti Aisyah dan wanita Vietnam, Doan Thi Huong, 29, didakwa membunuh
Kim Chol bersama-sama empat lagi individu yang masih bebas di Balai
Berlepas, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) Sepang
pada 13 Februari lepas.
Menjawab soalan Gooi, saksi kesembilan itu bersetuju bahawa Siti Aisyah
dibayar RM400 untuk melakonkan babak ‘usikan’ itu tetapi saksi itu
menjawab 'tidak tahu' lokasi dan masa lakonan itu berlaku.
Wan Azirul Nizam juga bersetuju bahawa Siti Aisyah membayar RM100
kepada pemandu teksi bernama Kamaruddin Masiod atau dikenali sebagai
John iaitu individu yang memperkenal tertuduh kepada James sebelum dia
dihantar ke Hotel Flamingo, Ampang dekat sini, selepas aksi itu dirakam
di pusat beli-belah berkenaan.
Beliau juga bersetuju dengan cadangan Gooi bahawa Kamaruddin
menghampiri Siti Aisyah buat pertama kalinya di Beach Club, Kuala Lumpur
kira-kira 3.30 pagi semasa mengambil penumpang, namun beliau tidak
dapat memastikan tarikhnya.
Namun, saksi itu tidak bersetuju dengan cadangan Gooi bahawa Kamaruddin
pernah menanyakan Siti Aisyah sama ada dia berminat untuk berlakon
dalam program 'usikan' yang akan ditayangkan di YouTube dan 'bos'
Kamaruddin adalah orang Jepun yang sedang mencari pelakon.
Gooi: Saya menyatakan, Siti Aisyah tidak kenal Kamaruddin sebelum pertemuan pertama itu?
Wan Azirul Nizam: "Ya, setuju".
Semasa menjawab soalan Gooi, Wan Azirul Nizam berkata beliau tidak
ingat sama ada nombor telefon James disimpan sebagai 'Jepun' manakala
nombor telefon Kamaruddin disimpan sebagai 'John' di dalam telefon
bimbit Siti Asiyah.
Mengenai hotel yang diinapi selama lima hari oleh Kim Chol di Langkawi
sebelum dibunuh di klia2, Wan Azirul Nizam berkata Kim Chol menginap di
Hotel Westin namun, tiada sebarang percakapan diambil daripada mana-mana
pihak di Langkawi.
Ketika menjawab soalan Gooi, Wan Azirul Nizam menyatakan bahawa
kebocoran rakaman video berkaitan insiden pembunuhan Kim Chol selepas
beberapa hari kejadian itu berlaku tiada kaitan dengannya kerana ia
disimpan dalam keadaan baik.
Katanya, beliau mempunyai tanggungjawab sepenuhnya terhadap rakaman berkenaan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.