Rabu, 31 Januari 2018

MKN Sabah hantar pulang 353 PATI Filipina

ANTARAPOS

Post Pic
 
 
SANDAKAN: Seramai 353 Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) warganegara Filipina berusia di antara lima bulan hingga 66 tahun dihantar balik ke negara asal mereka melalui Pelabuhan Sandakan di sini, malam tadi.
 
Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN), Negeri Sabah Datuk Rodzi Md Saad dalam satu kenyataan berkata, PATI yang terdiri 172 lelaki, 89 wanita dan 92 kanak-kanak itu dihantar balik dengan menaiki feri ke Zamboanga, Filipina.
 
Proses penghantaran balik PATI ke negara asal mereka adalah komitmen berterusan kerajaan dalam menangani masalah kemasukan PATI ke negeri ini.
 
Menurutnya jumlah PATI yang dihantar balik pada tahun lepas hingga semalam mencecah 12,670 orang termasuk 697 orang pada bulan ini.
 
Katanya jumlah PATI yang dihantar balik dan pulang secara sukarela sejak 1990 hingga semalam mencecah 565,242 orang.
 
Rodzi berkata kerajaan mengambil tindakan proaktif dalam usaha mengesan dan menangkap PATI dengan melancarkan pelbagai operasi bersepadu.
 
Operasi itu dikelolakan oleh MKN, Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom), Jabatan Imigresen, polis dan Agensi Penguatkuasaan Maritin Malaysia, katanya.
 
Beliau mengingatkan majikan dan orang awam untuk memberi kerjasama kepada pihak penguatkuasa dalam menangani masalah PATI dengan menyampaikan maklumat mengenai kehadiran mereka dan tidak menggaji atau melindungi mereka.
 
 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.