SANDAKAN: Polis mengambil keterangan daripada tujuh pelajar lelaki dari
dua sekolah menengah yang terlibat dalam satu pergaduhan di Dataran
Harbour Mall di sini pada Jumaat lepas.
Ketua Polis Daerah Sandakan ACP Azhar Mohd Hamin berkata pihak sekolah
telah membawa pelajar terlibat ke Balai Polis Sandakan pada jam 11 pagi
Selasa bagi membantu siasatan kes pergaduhan itu.
Katanya selepas keterangan dan rakaman percakapan pelajar berusia
antara 15 hingga 17 tahun itu diambil, mereka dibebaskan dengan jaminan
polis.
Kes itu disiasat di bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan, katanya dalam satu kenyataan di sini.
Klip video pergaduhan pelajar tersebut viral di Facebook.
Azhar berkata siasatan mendapati kejadian berpunca daripada perbuatan
ejek-mengejek selepas salah seorang pelajar memuat naik gambarnya dalam
aplikasi WeChat.
Beliau berkata sebelum ini, pegawai polis dari Jabatan Siasatan Jenayah
dan Pegawai Perhubungan Sekolah dari Polis Sandakan bagi kedua-dua buah
sekolah telah mengambil tindakan susulan dengan menemui pengetua dan
guru disiplin sekolah bagi mengenal pasti pelajar terlibat untuk
tindakan selanjutnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.