Ahad, 28 Januari 2018

Perjuangan pertahan Baitulmaqdis 'bernyala' dalam jiwa umat Islam - Hadi

Oleh Ainor Rahim
Post Pic
 
 
PUTRAJAYA: Naib Ketua Kesatuan Ulama Sedunia Datuk Seri Abdul Hadi Awang menegaskan perjuangan untuk terus mempertahankan Baitulmaqdis daripada dirampas oleh Israel, sentiasa wujud dalam setiap jiwa umat Islam di seluruh dunia.
 
Berucap pada Himpunan Munajat MyAQSA yang berlangsung di Dataran Putrajaya semalam, Abdul Hadi yang yang juga Presiden PAS menyeru agar perjuangan itu terus 'bernyala'.
 
“Ketahuilah Israel bahawa saf umat Islam berjuang untuk membebaskan Baitulmaqdis ini, kepala di Baitulmaqdis ekor di Morocco sehingga ke Indonesia dan Malaysia.
 
“Mereka tidak akan membunuh semangat umat Islam yang jumlahnya kepala di Baitulmaqdis ekornya dari Morocco hingga ke Indonesia dan Malaysia. Dari Asia tengah sehingga ke Afrika, ini adalah umat Islam di seluruh pelusuk dunia. Laksana satu jasad yang tidak mungkin dicincang dan dipisahkan antara satu sama lain,” katanya sambil menerima laungan takbir para peserta himpunan.
 
Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang seterusnya mengingatkan pemimpin Islam agar tidak tunduk kepada tawaran wang ringgit demi menggadaikan bumi Palestin daripada jatuh ke tangan Israel Yahudi.
 
“Ada Pemimpin Arab yang kaya raya duit banyak tetapi miskin jiwa, bertindak memujuk rakyat Palestine untuk menyerahkan Baitulmaqdis kepada Yahudi. Namun Alhamdulillah semua pemimpin umat Palestine menolak tawaran ini.
 
"Hari ini kita dengar tawaran berbilion kepada pemimpin Palestin. Tawaran ini pernah berlaku pada zaman dahulu. Sejahil orang Islam mereka tidak menerimanya," tegasnya.
 
Hadir sama pada himpunan tersebut Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom. 
 
Jamil dalam ucapannya berkata menolak perbezaan fahaman politik, himpunan berkenaan yang juga menghimpunkan wakil umat Islam dari seluruh dunia, berhimpun atas penyatuan semangat solidariti demi rakyat Palestin.
 
“Kehadiran kita malam ini bukan untuk hanya sekadar menyambung rintihan kesedihan mereka (rakyat Palestine) tetapi kita sedang membantu golongan Palestin yang sedang dijajah pada hari ini.
 
"Marilah kita pada malam semangat yang kita membataskan semua perasaan termasuk perbezaan-perbezaan di kalangan kita. Walaupun kita punya perbezaaan pandangan politik dan parti-parti yang kita dukung dan sebagainya. Namun pada malam ini kita dapat berhimpun atas satu semangat untuk mempertahankan bumi Aqsa dan Palestin," tambahnya.
 
Festival MyAQSA bermula pada 26 sehingga 28 Januari yang menawarkan pelbagai program untuk pengunjung yang datang termasuk Persidangan Meja Bulat Ulama Islam Sedunia Mengenai Baitulmuqaddis -  dihadiri 100 ulama dari 30 negara.
  
Persidangan itu memfokuskan masa depan dan situasi semasa Baitulmaqdis yang kini terancam selepas Amerika Syarikat mengisytiharkan kota suci itu sebagai ibu negara Israel.
 
Himpunan Munajat MyAQSA adalah acara kemuncak festival itu yang menyaksikan ribuan peserta hadir membanjiri Dataran Putrajaya bermula jam 8 malam.  Paling mengujakan hadirin yang hadir langsung tidak berganjak meninggal tapak himpunan biarpun hujan turun mencurah-curah.
 
 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.