KUALA LUMPUR: Kementerian Sumber Manusia mendapati 13 daripada 88 hotel
di Semenanjung Malaysia menetapkan dasar 'standard grooming' yang
melarang pekerja wanita bertudung.
Berdasarkan pemeriksaan yang dijalankan antara Disember 2017 sehingga
26 Januari lalu, larangan itu membabitkan bahagian tertentu, khususnya
di bahagian makanan dan minuman (F&B) serta bahagian hadapan.
Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Richard Riot, berkata Jabatan Tenaga
Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM) menasihatkan 13 hotel terbabit
mengambil tindakan pembetulan supaya tidak melaksanakan larangan
bertudung.
"Kementerian memandang serius terhadap isu diskriminasi yang didakwa berlaku dalam kalangan beberapa majikan sektor perhotelan.
"JTKSM akan meneruskan pemantauan ke atas beberapa lagi premis
pekerjaan di sektor perhotelan," katanya dalam kenyataan di sini.
Sebagai langkah menangani diskriminasi di tempat kerja, Riot berkata,
cadangan pindaan Akta Kerja 1955 susulan larangan bertudung dalam sektor
perhotelan, dijangka dibentang pada sidang Parlimen akan datang.
Beliau berkata, cadangan pindaan ini meliputi kawalan terhadap isu
bersabit larangan terhadap pekerja wanita bertudung di tempat kerja.
"Kementerian sedang meneruskan perbincangan melibatkan majikan, pekerja
dan kerajaan untuk memperhalusi cadangan pindaan akta itu.
"Kementerian juga mengadakan perbincangan dengan Persatuan Hotel
Malaysia (MAH) pada 17 Januari lalu. Hasilnya, MAH memberi komitmen
untuk menggesa semua pengusaha hotel di bawah MAH untuk tidak menetapkan
sebarang dasar melarang pemakaian tudung di tempat kerja.
"MAH juga menggalakkan semua ahli untuk memasukkan pemakaian tudung
sebagai pakaian seragam dalam kod etika berpakaian," katanya.
Beliau berkata, kementeriannya juga dijadual mengadakan perbincangan
dengan Majlis Perhubungan Rangkaian Kesatuan Sekerja Antarabangsa
Malaysia (UNI-MLC), esok.
Katanya, perbincangan itu bagi memberi penjelasan mengenai langkah menyelesaikan isu larangan bertudung di tempat kerja.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.