Ahad, 28 Januari 2018

Isu tudung: Pindaan Akta Kerja 1955 dibentang pada sidang parlimen akan datang




Isu tudung: Pindaan Akta Kerja 1955 dibentang pada sidang parlimen akan datang



Cadangan pindaan Akta Kerja 1955 bagi menangani diskriminasi di tempat kerja susulan isu larangan bertudung dalam sektor perhotelan, dijangka dibentang pada sidang Parlimen akan datang.

Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Richard Riot Jaem berkata kementerian sedang meneruskan perbincangan ‘tripartite’ melibatkan pihak majikan, pekerja dan kerajaan untuk memperhalusi cadangan pindaan Akta itu.

“Kementerian Sumber Manusia memandang serius isu diskriminasi yang didakwa berlaku dalam kalangan beberapa majikan sektor perhotelan di negara ini,” katanya dalam kenyataan semalam.

Persidangan Dewan Rakyat dijadual berlangsung dari 5 Mac hingga 5 April ini.

Riot berkata pemeriksaan yang dilakukan kementerian ke atas 88 hotel di Semenanjung Malaysia sejak Disember 2017

hingga kelmarin mendapati 13 daripadanya menetapkan polisi dan mempunyai ‘standard grooming’ yang melarang pekerja wanita bertudung, khususnya bagi ‘frontliners’ dan mereka yang bertugas di bahagian ‘food and beverages’.

“Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia telah menasihatkan 13 hotel berkenaan mengambil tindakan pembetulan untuk tidak melaksanakan polisi itu,” katanya.

Riot seterusnya berkata Persatuan Hotel Malaysia (MAH) telah memberi komitmen untuk menggesa anggotanya supaya tidak menetapkan sebarang polisi atau dasar melarang pemakaian tudung dalam kalangan pekerja wanita di tempat kerja.

“MAH juga menggalakkan semua anggotanya memasukkan pemakaian tudung sebagai pakaian seragam dalam kod etika berpakaian yang diamalkan pihak pengurusan hotel di negara ini,” katanya.

Riot berkata ini berdasarkan perbincangan antara kementerian dan MAH pada 17 Jan lalu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.