Oleh Ainor Rahim
SHAH ALAM: Amanah Selangor hari ini menegur PKR negeri itu bahawa
"Bukan PKR yang menentukan segalanya" berhubung agihan kerusi Parlimen
atau DUN di negeri itu, yang seakan menemui jalan buntu.
Malah Pengerusi Amanah Selangor, Ir Izham Hashim juga bertegas PKR
perlu akur, sebuah jawatankuasa perlu ditubuhkan bagi memuktamad agihan
kerusi di negeri itu.
"Selangor ini kita kena faham. Dia ada empat parti dalam PH ini. Bukan Selangor ini milik PKR, bukan dia yang tentu semua.
"Dia (PKR) kena sepakat. Jadi kita tidak boleh anggap bahawa PKR punya dia tentukan semua," katanya ketika dihubungi Antarapos.
Izham memberitahu Amanah sudahpun mengutus surat rasmi kepada Pengerusi
PH Selangor yang secara kebetulan adalah menteri besar, Datuk Seri
Mohamed Azmin Ali agar mempertimbangkan jawatankuasa itu untuk
ditubuhkan dengan kadar segera.
Namun 10 hari berlalu dan Azmin tidak memberikan sebarang maklum balas mengenainya.
Sebelum ini Amanah, PPBM dan DAP membantah untuk isu agihan kerusi
dibincangkan menerusi jawatankuasa Pilihan Raya PH Selangor sepertimana
yang disaran pimpinan PKR seperti Zuraida Kamaruddin dan Dr Xavier
Jayakumar.
"DAP, PPBM juga tidak bersetuju kerana mesyuarat jawatankuasa pilihan
raya ini lebih perbincangan kepada persiapan pilihan raya. Mengenai
jentera dan petugas pilihan raya.
"Keempat-empat parti itu belum dibuat (mesyuarat) jadi apabila PKR nak
bincang dalam mesyuarat Pilihan Raya PH Selangor, jadi Amanah tidak
bersetuju," tegas Izham.
Beliau kemudiannya berkata, jika isu agih kerusi di Selangor terus
dirumitkan, Amanah sendiri akan meminta pertolongan PH di peringkat
nasional untuk masuk campur.
"Majlis presiden dah bagi tarikh untuk negeri kena selesai (agih
kerusi) sebelum 31 Januari. Jadi kita dah tinggal dua tiga hari lagi.
Maknanya kalau tidak ada apa-apa lagi sebelum 31 Januari ini, Amanah
akan buat surat rasmi kepada Amanah Nasional.
"Kami minta Amanah Nasional bawa kepada pimpinan tertinggi bahawa kita
minta pimpinan tertinggi atau pusat PH untuk mesyuarat. Kalau negeri
tidak boleh handle, kita minta pusat.
"Macam Johor minggu lepas, bila pimpinan pusat turun selesailah (pembahagian) kerusi. Sekejap saja sebenarnya," katanya.
Izham yakin isu agih kerusi di negeri Selangor boleh diselesaikan jika
PKR mengutamakan prioriti dalam strategi politiknya dan tidak
menggantung harapan pada parti yang tidak sudi.
"Masalah di Selangor ini, saya kdang-kadang pun tidak faham. (Bila)
kita cakap mereka marah pula. Tapi (kita) tak faham dengan strategi
pilihan raya ini. Apa yang mereka mahukan sebenarnya?
"Selangor ini cukup beruntung (sebab) tetap akan menang. Hanya perlu perketatkan sini sana sahaja. Duduk sebagai keluarga.
"PAS pun tidak berminat dah dengan PH ini. Tidak usah buang masa. Kita
dah cakap banyak kali dah degil juga. Jadi kita tetap berpegang pada
arahan dari atas bahawa tidak ada lagi kerjasama dengan PAS," tambahnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.