KANGAR: PAS meminta semua pihak khususnya umat Islam tidak terpengaruh
dengan Kempen #UndiRosak yang digerakkan untuk menghasut rakyat agar
memboikot Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) kerana bertentangan dengan
ajaran agama itu.
Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menegaskan, Islam meletakkan
politik sebahagian daripada agama dan oleh itu, adalah menjadi
tanggungjawab umatnya mengundi untuk memilih pemimpin.
"Tanggungjawab mengundi untuk memilih pemimpin adalah tuntutan agama
dan merupakan amanah yang mesti ditunaikan oleh setiap umat Islam,"
katanya dalam sidang akhbar selepas mendengar taklimat persiapan PRU-14
negeri ini di Kompleks PAS negeri di sini hari ini.
Kempen #UndiRosak mula berlegar dan menjadi popular selepas pengumuman
rasmi Tun Dr Mahathir Mohamad dinamakan sebagai calon perdana menteri
Pakatan Harapan (PH) pada 7 Januari lalu.
Tanpa sebarang organisasi rasmi, aktivis-aktivis kempen menggunakan
akaun media sosial milik peribadi untuk menjual propaganda mengajak
masyarakat merosakkan undi.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan timbalannya, Datuk Seri
Dr Ahmad Zahid Hamidi juga menyifatkan kempen #UndiRosak sebagai
tindakan bertentangan serta mampu merosakkan sistem demokrasi yang
diamalkan di Malaysia.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.