Isnin, 25 Disember 2017

Patutkah calon PM diperbincangkan?

DETIK DAILY

 
Oleh ALANG IBN SHUKRIMUN

SAYA tidak berhasrat untuk membalas pertikaian mengenai tulisan terbaru Presiden PAS soal calon PM. Beliau berpandangan sikap itu tidak selari dengan prinsip politik Islam berasaskan ijtihad, berpandukan dialog Baginda Nabi S.A.W dengan Bani Amir sebelum peristiwa hijrah.

Cuma suka untuk saya bawakan dari naratif prinsip dan sikap dalam menguruskan perbezaan ijtihad. Juga sudut pandang politik.

Ijtihad Politik

Perkara bersifat ijtihadi sepatutnya tidak perlu dipertikaikan apatah lagi dikecam. Sebaliknya ia perlu dihormati walaupun kita berbeza pandangan. Sikap terbuka dan meraikan pendapat perlu diamalkan.

Kita nyatakan pandangan kita dan kalian nyatakan pandangan kalian. Kemudian bincang secara ilmiah tanpa ayat-ayat provokatif.

Tidak setuju dengan pandangan Presiden PAS bukan menjadi satu masalah bagi pihak lain. Yang menjadi salah adalah mengatakan pandangan kita adalah absolute truth, dan pihak lain absolute wrong. Ini jelas menyimpang dari prinsip ijtihad.

Apatah lagi menuduh orang yang berijtihad sebagai mempergunakan agama demi menghalalkan tindakan. Ia juga menggambarkan sikap tidak terbuka dalam berkhilaf. Sememangnya berijtihad perlu menggunakan agama, kerana agama sahaja yang mengajar disiplin ini. Ia tidak ada dalam disiplin ilmu geografi apatah lagi ilmu perbidanan.

Kelayakan berijtihad

Tuan Guru Presiden PAS bukan sekadar alim dalam ilmu sejarah dan feqah, malah beliau juga mahir dalam ilmu siasah dan menjadi tempat rujuk berbagai gerakan Islam lain di dunia. Beliau sendiri terlibat di bidang politik sebagai pemimpin parti dan pernah mengetuai kerajaan. Lebih jauh dari itu, beliau turut terlibat secara langsung dalam politik antarabangsa sudah puluhan tahun. Sudah tentu segala pandangan beliau tidak mengambil kira literal nas semata-mata, bahkan memahaminya berdasarkan real politics.

Justeru bagi saya, ijtihad beliau lebih pantas untuk dipersetujui berbanding pihak lain yang hanya melihat isu politik dari jauh dan tidak faham selok terajang apatah lagi tidak bergelumang dengan liku-liku perjuangan politk. Pihak lain bebas berijtihad di kerusi empuk dalam bilik berhawa dingin, tetapi ijtihad mereka yang terlibat secara langsung lebih diyakini.

Contoh yang boleh diberikan, berkenaan ijtihad Imam Abu Hanifah berbanding imam-imam lain dalam bab muamalat. Pandangan beliau menjadi pilihan pakar-pakar muamalat moden kerana lebih praktikal untuk keadaan semasa. Ini kerana beliau juga merupakan peniaga yang terlibat secara langsung dalam bab muamalat.

Prinsip berjemaah

Bagi saya sebagai ahli jemaah, ijtihad Presiden sebagai pemimpin dalam perkara melibatkan bidang kuasa beliau adalah wajib didokong. Pandangan beliau mewakili pandangan jemaah. Ini prinsip berjemaah yang perlu difahami berasaskan hadis perintah beriltizam dengan jemaah dan pemimpinnya. Walaupun kita memiliki pandangan berbeza, kita perlu mengenepikannya dan menyokong pandangan beliau.

Dalam isu Brexit, beberapa orang MP baik dari Parti Konservatif mahupun Parti Buruh tidak bersetuju. Tetapi setelah referendum dicapai, semua mereka mendokong keputusan ini di Parlimen. Apabila ditanya, mereka menjawab bahawa walaupun berbeza pandangan, tetapi mereka berada di Parlimen mewakili rakyat bukan mewakili diri sendiri. Nah! orang kafir pun faham konsep 'aqliah jamaiah' dalam berorganisasi.

Walaubagaimanapun, ia tidaklah bermakna keputusan jemaah itu menutup ruang perbincangan. Kita masih boleh berbincang dengan beliau secara beradab dan mengikut saluran yang sepatutnya.
Siapa calon PM kamu?

Berbalik kepada calon PM. Walaupun ada berpandangan tidak menjadi salah untuk menamakan calon, tetapi secara realitinya perkara tersebut tidak membawa kebaikan apa-apa. Yang timbul hanya pertikaian yang menemui jalan buntu. Sejak berada dalam Pakatan Rakyat lagi, PAS tidak bersetuju membincangkan isu PM.

Kerugiannya boleh dilihat jelas hari ini. Dalam satu pakatan politik seperti PH, masih tidak dapat menentukan siapa PM secara muktamad. Masing-masing berebut memposisikan diri. Ada yang berpandangan Anwar masih relevan, ada yang mengangkat bekas PM Mahathir, dan DAP pula pernah membayangkan non-Muslim sebagai PM.

Ke mana mahu bawa isu calon PM ini? Apa untungnya kepada rakyat?

Mungkin itulah hikmahnya Nabi tidak melayan tuntutan Bani Amir, walaupun terpaksa menggadaikan dokongan kaum tersebut terhadap Islam. Nabi seolah sudah boleh membaca polemik yang akan tercetus.

Polemik khilafiah Mat Jenin

Siapa calon PM ibarat isu khilafiah yang perlu dihindarkan bagi mengelak perpecahan. Perkara khilaf bukan wujud dalam kitab feqah sahaja. Aplikasi Feqh Aulawiyat juga perlu diperluaskan ke segenap ruang kehidupan.

Biar menang dahulu baru bincang tentang jawatan. Kalau awal-awal lagi sudah larut dengan isu ini, ia tidak membantu ke arah kesatuan amal menjelang PRU, bahkan boleh membawa kepada perselisihan yang merugikan dalam pakatan. Makin menyukarkan jalan untuk menang.

Kalau pilih Anwar, penyokong Mahathir tak setuju. Kalau pilih Mahathir, geng reformasi tak setuju. Kalau pilih Kit Siang, majoriti orang Melayu tolak. Tak semena-mena pakatan berantakan.
Bak kata Ayah Chik suatu masa dahulu, perbincangan perkara ini hanya ibarat angan-angan Mat Jenin. Padahnya yang dikejar tak dapat, yang dikendong keciciran.

Barah Populisme

Dari sudut politik, tindakan menamakan calon PM hanya bersifat populis. Oleh kerana rakyat bertanya siapa akan jadi PM, maka politikus pun menjawab mengikut kehendak rakyat tanpa mengira apakah ianya baik atau buruk, perlu atau tidak kepada rakyat.

Berdasarkan kriteria BPMS, PAS menentang budaya populis dalam politik. Kerana itu fokus PAS adalah berkenaan dasar dan prinsip dalam menguruskan negara. Siapa calon PM tidak penting kerana siapa jua yang naik, mereka perlu menjalankan tanggungjawab berasaskan dasar dan prinsip yang telah digariskan. Segala keputusan akan dibuat secara kolektif dan tidak akan lari dari rangka perancangan WINS 2051.

Siapa sahaja yang naik, sama sahaja. Ini bukan zaman autokratik atau diktator yang mana hala tuju negara ditentukan oleh individu. Justeru dasar dan visi pemerintahan yang perlu diketengahkan kepada rakyat, bukan siapa calon PM.

Hakikat individu


Mengetengahkan individu sebagai kempen politik adalah budaya yang tidak kompeten dan tidak memiliki unsur sustainability. Individu adalah objek yang sering berubah dan mudah dipengaruhi. Hari ini mereka mungkin boleh berkata macam-macam sebelum jadi PM. Tetapi bila sudah berkuasa, segalanya boleh berlaku. Tiada indikator yang jelas mereka akan berpegang kepada prinsip perjuangan sampai ke akhir.

Lihat sahaja Stalin. Sebelum naik sebagai pemimpin Komunis, beliau membawa perjuangan rakyat bawahan terutama golongan buruh. Retoriknya adalah untuk menentang monopoli kapitalis dan membahagikan kekayaan negara kepada rakyat secara adil. Tetapi apabila menaiki takhta, mereka membolot harta negara dengan sangat rakus.

Lihat juga Aun San Suu Kyi. Sebelum menang, beliau memperjuangkan demokrasi. Tetapi setelah menang, beliau menafikan hak demokrasi etnik Rohingya. Sebelum menang beliau dianggap pejuang kebebasan. Tetapi setelah menang, beliau begitu prejudis kepada kebebasan kaum Rohingya.
Pilihan Raya tanpa calon; Satu idea

Pencalonan PM tidak boleh disamakan dengan pencalonan wakil rakyat dalam pilihan raya atau pemilihan parti. Kedua perkara ini merupakan tuntutan undang-undang yang wajib dipatuhi untuk bertanding. Jika tidak dilakukan, maka mana-mana parti politik tidak boleh diundi. Justeru ia termasuk dalam bab kewajipan yang perlu dilakukan bagi mencapai kewajipan sebenar, iaitu mencapai kekuasaan.

Sedangkan pencalonan PM tidak menjadi syarat dari sudut perundangan pada peringkat ini. Justeru menyamakannya adalah sangat tersasar.

Menuju ke arah kemajuan politik, suka untuk dicadangkan satu kaedah baru dalam pilihan raya. Pengundian berasaskan parti semata-mata tanpa menamakan calon. Rakyat hanya menilai berasaskan dasar, idea, visi dan manifesto parti tanpa perlu melihat kepada peribadi seseorang. Soal siapa yang akan menjadi wakil di kawasan yang menang ditentukan sendiri oleh parti.

Kaedah ini mirip pengundian straight-ticket yang diamalkan di beberapa wilayah di US. Tetapi ia masih mengetengahkan calon. Idea yang saya datangkan pula adalah berasaskan parti semata-mata, tanpa dinamakan calon.

Ini bermakna anggota parti bertanggungjawab secara kolektif terhadap kawasan yang dimenangi. Di dewan Parlimen atau Dun, parti boleh memilih wakil yang dikehendaki dan boleh menukarnya.

Selain memberi kelebihan kepada parti dalam menjaga dasar dan halatuju mereka dari digugat kepentingan individu, ia juga dapat menangani isu lompat parti yang sering menimbulkan masalah buat negara.

Balik jadi nelayan

Ringkasnya, isu pencalonan PM tidak boleh dilihat dari sudut akademik semata-mata. Bahkan isu-isu lain juga begitu. Ia perlu dipandang secara holistik. Walaupun aspek akademik juga penting, tetapi ia hanyalah sebahagian dari proses penentuan tindakan. Banyak lagi yang perlu diteliti dan dijadikan pertimbangan.

Sebagai penutup, suka untuk saya bawakan pendirian Presiden PAS sewaktu dalam Pakatan Rakyat dahulu berhubung siapa bakal menjadi PM. Jawab beliau kepada wartawan,

"Terserah kepada keputusan perbincangan lepas menang nanti, siapa yang akan jadi PM. Kalau dah ada orang yang sanggup dan boleh jadi PM, saya balik jadi nelayan pun tak apa."

Apapun, ia satu perbincangan yang baik ke arah kematangan berpolitik. Semoga lontaran ini memberi manfaat.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.