Ahad, 24 Disember 2017

Lelaki pasang jerat ditemui mati

ANTARAPOS

Post Pic
 
 
SERIAN: Lelaki yang dilaporkan hilang ketika memasang jerat haiwan liar di hutan berdekatan Kampung Mang Besi, Ensenggai, di sini sejak Jumaat lalu ditemui mati, hari ini.
 
Mayat mangsa, Bahet Ten, 55, ditemui pasukan mencari dan menyelamat (SAR) di tebing Sungai Reban pada jam 12.53 tengah hari tadi.
 
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Sarawak, berkata mangsa dipercayai terjatuh ke sungai itu selepas tergelincir ketika melalui titi buluh untuk menyeberangi sungai.
 
"Bagaimanapun, punca kematian mangsa hanya akan diketahui selepas hasil bedah siasat diperolehi," katanya.
 
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Serian, Deputi Superintendan Aswandy Anis ketika mengesahkan kes itu berkata, mayat mangsa ditemui dalam keadaan terlungkup di tebing sungai berkenaan.
 
"Mayat mangsa sudah dihantar ke Hospital Serian untuk dibedah siasat bagi mengetahui punca sebenar kematiannya," katanya.
 
Aswandy berkata, pihaknya menerima laporan kehilangan mangsa yang dibuat anaknya, Adeline, pada jam 9.51 malam, Jumaat lalu.
 
Beliau berkata, bertindak atas laporan itu, SAR dilancarkan dengan diketuai Ketua Polis Balai Serian, Sarjan Masniah Matlan dan disertai anggota bomba, RELA dan penduduk kampung.
 
"Mayat mangsa disahkan oleh abangnya yang bernama Bujang yang turut serta dalam operasi itu," katanya.
 
 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.