GEORGE TOWN: Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) Datuk
Maimunah Mohd Sharif yang dilantik sebagai Pengarah Eksekutif di
UN-Habitat mulai 1 Januari ini, berikrar untuk memberikan perkhidmatan
terbaik di persada antarabangsa.
Beliau yang teruja dan gembira diberikan penghargaan untuk menjawat
jawatan itu berkata akan melepaskan jawatannya sebagai datuk bandar MBPP
setelah selesai mengangkat sumpah bagi jawatan itu di New York nanti.
Ketika dihubungi Bernama, wanita yang berasal dari Kuala Pilah, Negeri
Sembilan itu berkata, memang menjadi cita-cita dan impiannya untuk
berkhidmat sehingga ke peringkat antarabangsa.
"Syukur impian untuk berkhidmat sehingga ke peringkat antarabangsa
tercapai. Saya harap saya boleh memberikan khidmat terbaik ketika
bertugas di sana dalam aspek perbandaran.
“Saya akan mempraktikkan pengalaman sedia ada. Menjadi hasrat saya
untuk melaksanakan matlamat oleh UN-Habitat iaitu 'matlamat pembangunan
lestari' dan 'agenda perbandaran baru 2030' dapat dilaksanakan di
peringkat kerajaan tempatan," katanya yang bakal bertugas di Nairobi,
Kenya.
Pelantikan Maimunah dibuat oleh Setiausaha Agung Pertubuhan
Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Antonio Guterres yang mendapat sokongan
sebulat suara dalam perhimpunan agung pertubuhan itu pada 4 pagi, Sabtu.
Ia menjadikan Maimunah, 56, sebagai wanita pertama di Asia yang
menjawat jawatan tersebut. Beliau akan menggantikan penyandang pengarah
Eksekutif UN-Habitat yang juga bekas Datuk Bandar Barcelona, Joan Clos
yang tamat kontrak secara rasmi pada 31 Disember ini.
UN-Habitat ialah agensi PBB yang bertanggungjawab menambah baik kehidupan di bandar yang pesat membangun.
Maimunah berkata, pada masa ini beliau belum menerima tarikh rasmi bagi
upacara angkat sumpah dan masih menjalankan tugas sebagai datuk bandar
MBPP sehingga tarikh angkat sumpah diketahui.
Sementara itu Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng dalam satu
pengumuman berhubung pelantikan Maimunah dalam sidang akhbar di
pejabatnya semalam menyifatkan pelantikan datuk bandar MBPP itu sebagai
sesuatu yang menjadi kebanggaan rakyat Pulau Pinang dan juga Malaysia
sekaligus mengharumkan nama Malaysia.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.