KOTA BHARU: Seorang pelajar tingkatan enam sebuah sekolah di Pasir
Puteh mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas
pertuduhan memiliki dua butir bom yang disyaki untuk digunakan dalam
rancangan serangan terhadap The Better Beer Festival 2017 di ibu negara
pada Oktober lalu.
Tertuduh Muhamad Hafizi Mat Jusoh,19, yang sepatutnya menduduki
peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) esok mengaku
bersalah selepas pertuduhan ke atasnya dibacakan di hadapan Hakim Ahmad
Bazli Bahruddin.
Menurut laporan Utusan Malaysia, Muhamad Hafizi turut berdepan empat
pertuduhan lain berkaitan penglibatan dalam kumpulan pengganas
bagaimanapun tiada sebarang pengakuan direkodkan.
Mengikut pertuduhan, Muhamad Hafizi didakwa memiliki dua buah senjata
api iaitu dua butir bom improvised explosive device (IED) di sebuah
rumah di Kampung Merkang, Pasir Puteh pada pukul 6.05 petang, 10
Oktober lalu.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api ( Penalti Lebih
Berat) 1971 (Akta 37) yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 14
tahun dan minimum enam sebatan, jika sabit kesalahan.
Sementara itu, dua yang lain, Ahmad Azmi Ahmad Rosli, 24 , dan Mahadi
Ibrahim, 34, yang turut dikatakan terlibat dalam rancangan serangan
tersebut masing- masing berdepan tiga dan dua lagi pertuduhan berasingan
berkaitan aktiviti kumpulan pengganas.
Kedua-dua tertuduh hanya mengangguk faham dan tiada pengakuan direkodkan.
Kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Fadzlan Mohd
Noor dan sebutan semula kes ditetapkan pada 6 Disember depan.
Baru-baru ini, Polis Diraja Malaysia (PDRM) menggagalkan rancangan
serangan terhadap The Better Beer Festival 2017 dengan tertangkapnya
tiga lelaki termasuk perancang utama, seorang pelajar tingkatan enam di
Pasir Puteh, Kelantan, 10 Oktober lalu.
Suspek utama yang berusia 19 tahun bersama seorang bekas tentera, 34,
dan kontraktor binaan, 25, dipercayai telah merangka serangan tersebut
selepas menerima maklumat mengenai penganjuran festival arak tersebut
yang dijadualkan berlangsung di Solaris Dutamas pada 6 Oktober lalu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.