Ahad, 5 November 2017

PKR Pulau Pinang Kurang Senang Saifuddin Dicalon YDP MAIPP

 
 




PKR Pulau Pinang dilaporkan kurang senang dengan tindakan membawa tokoh PKR luar dan diberi jawatan di negeri itu kerana ia boleh menghalang aktivis-aktivis PKR negeri mendapat jawatan yang sewajarnya.

Ia merujuk kepada lobi melantik Datuk Saifuddin Nasution Ismail untuk jawatan Yang Dipertua (YDP) Majlis Agama Pulau Pinang (MAINPP).

Sumber PKR memberitahu The Malaysian Insight yang pemimpin tempatan parti itu di Pulau Pinang tidak gembira dengan pencalonan itu.

“Kepimpinan PKR Pulau Pinang tidak mengetahui apa-apa mengenai Saifuddin sehinggalah dia sampai ke negeri itu. Mereka tidak diajak berbincang,” kata sumber PKR yang tidak dinamakan.

Menurut The Malaysian Insight, PKR Pulau Pinang juga turut mencalonkan seorang pemimpin negeri, Timbalan Ketua Menteri 1 Mohd Rashid Hasnon untuk mengisi jawatan YDP MAINPP.

Tambah portal itu, strategi untuk membawa pemimpin luar ke Pulau Pinang adalah sebahagian rancangan kepimpinan tertinggi PKR untuk menempatkan pemimpin parti itu dalam kerajaan negeri pimpinan DAP adalah arahan daripada Anwar Ibrahim.

“PKR mahu meletakkan pemimpin Melayu berkaliber di depan. Anwar mahukan pemimpin Melayu PKR yang kalibernya setanding dengan DAP di Pulau Pinang,” katanya.

Sumber itu mengesahkan yang cadangan pelantikan Saifuddin selaku presiden MAINPP datangnya dari Anwar sendiri yang kini sedang menjalani hukuman penjara di Sungai Buloh kerana kesalahan liwat.

“Warkah dari Sungai Buloh menamakan Saifuddin sebagai calon jawatan. Itu keputusan Anwar.

“Keputusan yang dibuat awal tahun ini menimbulkan kekecohan dalam PKR Pulau Pinang,” katanya tetapi menambah yang Saifuddin juga dicalonkan kerana kemampuannya.

“Anwar mahukan Saifuddin kerana kemahiran pentadbirannya yang hebat. Dia ada rekod baik bekerja dalam kerajaan ketika Anwar menjadi timbalan perdana menteri.

“Dia juga ada kemahiran komunikasi yang bagus. Jika ada dua pihak bertelagah, Saifuddin ada kemahiran diplomatik untuk selesaikan,” kata sumber itu.

Bukan sekadar jawatan Yang Dipertua MAINPP tetapi nama Saifuddin juga disebut-sebut sebagai calon berpotensi untuk timbalan ketua menteri 1 Pulau Pinang, kata sumber itu lagi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.