Oleh Ainor Rahim
KUALA LUMPUR: Sekurang-kurangnya 15 kerusi Parlimen perlu dimenangi
MCA pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) dalam mengukuhkan kedudukannya
dalam kerajaan, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Sehubungan itu, Pengerusi Barisan Nasional (BN) mahu pemimpin MCA
memainkan peranan untuk mendapatkan kembali sokongan kaum Cina kepada
parti itu, sekiranya mahu menikmati manfaat daripada kerajaan.
”Sebab itu kalau masyarakat Cina nak lebih lagi. Tolong sokong lebih
Barisan Nasional (BN). Sekarang ada 7 je ahli Parlimen. Tetapi anda ada
15 ahli Parlimen, anda akan lebih kuat dalam kerajaan.
“Saya perlu menimbang kerusi tambahan untuk MCA dalam kabinet. Ada 7
ahli parlimen anda ada 13 menteri. Sepatutnya kalau 7 kerusi parlimen
tak boleh ada menteri. Anda tidak boleh dapat. Hanya satu menteri. 7
kerusi takkan sampai 3? Tetapi kita buat. Kita nak mendengar suara
komuniti Cina.
“Tolong berikan kami sokongan. Anda tidak boleh dapat segalanya ikut
cara anda. Nak sekolah, nak itu ini tetapi undi tak bagi. Mana masuk
akal, “ beliau berkata demikian ketika merasmikan Mesyuarat Agung MCA
ke-64 di Wisma MCA, di Jalan Ampang hari ini.
Setakat PRU13 lalu, MCA cuma memiliki tujuh kerusi Parlimen pada waktu ini.
Yang turut hadir pada majlis ialah Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai dan Timbalannya, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong.
Dalam pada itu, Najib dalam ucapannya turut mempersoalkan jumlah
tahanan yang pernah ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA)
sepanjang Tun Dr Mahathir Mohamad bergelar perdana menteri.
“Berapa ramai orang yang dia (Dr Mahathir) dah tahan dibawah ISA?
Berapa? Saya lah yang mansuhkan ISA. Dia Ops Lalang 100 lebih masuk.
Pastu dia kata eh bukan salah saya, salah polis. Saya kena dengar cakap
polis. Bila masa Mahathir dengar cakap orang lain?
“Timbalan-timbalan dahulu ke? Tidak. Setiap timbalan ada masalah.
Semua orang ada masalah kecuali Mahathir sebab dia ‘sempurna’. Tidak
orang lain. Inilah orangnya.”
ISA, menerusi gerakan yang dinamakan sebagai Operasi Lalang pernah menahan 106 individu, termasuk Penasihat DAP Lim Kit Siang.
Operasi Lalang dilaksanakan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan
Kementerian Dalam Negeri (KDN) pada 27 Okt 1987 dengan menahan individu
yang dianggap mengeruhkan politik semasa.
Isu berkenaan itu kembali hangat, apabila sebuah NGO menuntut bekas
perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad meminta maaf atas penahanan 106
individu berkenaan tanpa bicara semasa operasi yang diadakan 30 tahun
lalu itu.
Untuk rekod, ISA digubal pada 1960 bertujuan menjaga keselamatan dan
ketenteraman dalam negara yang memberi kuasa kepada polis menahan
seseorang sehingga 60 hari tanpa perlu dibawa ke mahkamah untuk
dituduh.
ISA kini sudah dimansuhkan dan diganti dengan Akta Kesalahan
Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 atau lebih dikenali sebagai
Sosma di bawah pentadbiran Najib.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.